Isnin, 7 November 2016 | 6:29pm

Pengurus mayat maut nahas

BUTTERWORTH: Seorang lelaki yang bekerja sebagai pengurus mayat maut manakala rakannya cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas dalam kejadian di Kilometer 2.6 Lingkaran Luar Butterworth (LLB) di sini, pagi tadi.

Kemalangan jam 10.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu Ng Seong Joo, 37, dari arah Kulim menuju Butterworth tidak dapat dikawal akibat tayar belakang sebelah kanan pecah, sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata kesan pelanggaran itu menyebabkan mangsa yang memandu kenderaan berkenaan tersepit dan mengalami cedera parah di kepala.

"Mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun, dia dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital," katanya.

Difahamkan, rakan mangsa, Hoa Lean Heng, 29, patah tangan dan luka di bahagian muka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X