Isnin, 7 November 2016 | 8:58pm

PUNB harap usahawan muda sertai projek HSR


MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kanan) menyerahkan replika cek dan trofi kepada juara 'PUNB BIZ Challenge 2016', Hanis Bahaman (kiri) di PWTC hari ini. Turut hadir Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tan Sri Mohd Ali Rustam (tengah). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura diharap akan membuka peluang kepada usahawan Bumiputera di bawah naungan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) meraih kontrak mencecah berbilion ringgit daripada jangkaan RM140 bilion projek mega itu.

Pengerusi PUNB, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam, berkata harapan positif itu berasaskan sekiranya sebahagian kecil daripada projek berbilion ringgit itu diberikan kepada usahawan PUNB termasuk, kontrak servis dan penyelenggaraan.

Beliau berkata, sekiranya usahawan di bawah naungan PUNB berjaya mencapai angka berkenaan, ia menjadi bukti faedah yang boleh diperoleh daripada inisiatif perbadanan itu, termasuk peluang perniagaan dan latihan dalam bidang kejuruteraan serta teknikal.

"Persediaan membangunkan usahawan muda ke peringkat lebih tinggi bagi mengambil bahagian dalam projek rel mega dilaksanakan melalui Program Pembangunan Graduan Muda dengan kerjasama MRT Corp dan CIDB.

"Sejak program MYEP1 dilancar pada 2013, seramai 16 perintis daripada 13 syarikat berjaya meraih kontrak bernilai keseluruhan RM21 juta daripada MRT Corp dan kontraktor utama MRT.

"Untuk HSR pula, saya harap sekurang-kurangnya RM1 bilion kontrak diperoleh usahawan PUNB. Ini faedah besar untuk kita peroleh termasuk juga dari segi servis dan penyelenggaraan selepas projek mega ini siap pada masa depan," katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah 'PUNB Biz Challenge' yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Pertandingan anjuran tahun ketiga PUNB itu menyaksikan usahawan muda yang juga pengasas The Tokyo Burger, Hanis Bahaman, merangkul tempat pertama PUNB Biz Challenge 2016.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Dzulkifli Fadzilah berkata, pihaknya menjangkakan jumlah pinjaman yang disalurkan kepada usahawan PUNB akan melebihi sasaran RM150 juta menjelang akhir tahun ini.

Setakat ini, katanya, perbadanan itu sudah menyalurkan pinjaman berjumlah RM145 juta sehingga September tahun ini kepada 350 usahawan di seluruh negara.

Info

Fasa kedua MRT Young Entrepreneur Program (MYEP) bersama MRT dan CIDB

* 54 orang perintis muda

* latihan intensif persediaan kontraktor muda

* MRT - bimbingan kemahiran;

* CIDB - suntikan nasihat kepakaran

* PUNB - bantuan modal permulaan dan nasihat perniagaan

73 dibaca
Berita Harian X