Selasa, 8 November 2016 | 12:08am
bhplus idris khan

Idris Khan, teman Maghribi "bercinta" dalam gym

KUALA LUMPUR: Titik hitam pernah mencemari karier pelakon baharu bertubuh sasa, Idris Khan, 28, apabila dirinya terseret dalam penyebaran gambar bogel yang pantas menjadi viral dan buah mulut netizen.

Memilih berdiam diri ketika kontroversi itu hangat diperkatakan, Idris mencari ruang mengumpul kekuatan biarpun kecaman dan kritikan bertalu-talu menghujani.

Tampil dengan semangat baharu, aktor berdarah campuran Melayu dan Pakistan ini akhirnya sedia berkongsi sisi peribadi seolah petanda dirinya kian 'pulih' serta mula berpandangan jauh mengenai karier dan kehidupan.

Bangkit daripada kisah luka apabila ikatan dengan gadis idaman terlerai selepas tujuh tahan menyulam cinta, Idris atau nama sebenarnya, Muhammad Idris Abdul Ghaffar Iskandar Khan mengaku sudah bertemu cinta baharu.

Berasal dari Maghribi, gadis dikenali sebagai Sanaa Jaffer, 25, akhirnya muncul dalam hidup jejaka kelahiran Libya dan dibesarkan di Kuala Lumpur ini.

"Jika diikutkan, saya sudah mengenali Sanaa sejak lapan tahun lalu. Saya mengaku dialah wanita yang paling rapat dengan saya dan menjadi tempat berkongsi masalah.

"Cuma, jika hendak bercakap soal kahwin, masih terlalu awal. Saya rasa sangat okay dan selesa keluar dengannya.

"Kalau jodoh panjang, saya sasarkan antara tempoh setahun atau dua tahun untuk berkahwin," katanya kepada BH Plus.

Idris ditemui di Kuang, Selangor ketika menjalani penggambaran telefilem Trauma arahan Jinggo melalui produksinya, JS Pictures. Telefilem itu dijangka disiarkan TV3 sempena minggu Drama Festival Kuala Lumpur 2017.


IDRIS Khan bangkit dengan semangat baru . - Foto Munira Abdul Ghani


IDRIS khan bersama Sanaa Jaffer.

Pandai jaga hati

Ditanya lagi bagaimana hatinya boleh terpaut kepada gadis berasal dari negara asing, bukan wanita tempatan, Idris memberitahu:

"Tidak timbul soal itu. Hal wanita dan pasangan ini, saya tidak pilih atau tetapkan kriteria termasuk dari luar negara.

"Saya memilih bukan bersandarkan rupa semata-mata. Saya lebih utamakan wanita yang boleh menjaga hati dan diri saya. Sanaa pandai menjaga hati saya. Malah, dia faham kerjaya yang saya ceburi," katanya.

Bercerita lanjut, Idris berkata, Sanaa baru menamatkan pengajiannya di Malaysia.

"Dia merancang mencari kerja di negara ini. Kami berkongsi minat yang sama iaitu suka menjaga badan dan menghabiskan masa di gimnasium.

"Malah, dia lebih bersemangat pergi ke gimnasium. Ini mendorong saya menjaga badan dengan lebih konsisten. Cuma, biasalah kalau ada penggambaran, sesi di gimnasium akhirnya 'ke laut'," selorohnya.


IDRIS Khan. - Foto Mahzir Mat Isa

IDRIS Khan bangkit dengan semangat baru . - Foto Munira Abdul Ghani

Emosi lebih stabil

Meninggalkan jauh episod hitam dalam hidupnya, Idris mengaku emosinya kini stabil.

"Saya bahagia. Sebelum ini, ada wartawan bertanya, bagaimana saya hadapi kontroversi. Saya hanya menghadapinya dan cuba untuk fokus.

"Saya tidak boleh goyah pendirian dengan apa yang terjadi. Sebagai pelakon, tanggungjawab saya adalah untuk memberi persembahan yang terbaik," katanya.

Idris berkata, setiap hari dia berlatih untuk meningkatkan skil berlakon.

"Saya cuba baiki kelemahan. Saya mula puas. Saya sekarang berjinak-jinak menjadi penerbit. Pekin Ibrahim yang juga teman rapat juga mula melihat saya sudah menunjukkan perubahan positif," katanya.

Idris juga bersyukur dirinya masih diberi kepercayaan penerbit dan pengarah untuk membintangi drama dan telefilem.

Tambah Idris lagi, syarikat penerbitan, Centro Pictures yang diusahakan bersama Pekin dan beberapa rakan kongsi lain terus aktif menghasilkan beberapa projek.

"Selepas menerbitkan dokumentari Madness Of Borneo di bawah syarikat KL Media, filem KL Wangan pula menjadi buah tangan terbaharu saya, Pekin dan teman lain.

"Sudah sebulan penggambaran filem itu bermula," katanya yang muncul dengan drama terbaharu terbitan JS Pictures berjudul Mr Donat Karamel yang mengisi slot Lestary TV3 sejak 2 November lalu.


PELAKON drama Trauma, dari kiri, Idris Khan, Zara Zya, Dayana Roza, Raja Afik, Janna Nick dan Saharul Ridzwan arahan Jinggo atau nama sebenarnya Azman Yahya ketika penggambaran di Kuang. - Foto Mahzir Mat Isa

Sheila Rusly puji lakonan

Bercerita lanjut mengenai telefilem Trauma, Idris membawa watak pemuda bernama Eddie.

Lakonannya dipuji Sheila Rusly yang bertindak sebagai penerbit di JS Pictures. Selain Idris, telefilem itu turut dibintangi Janna Nick, Zara Zya, Saharul Ridzwan, Raja Afiq, dan Dayana Roza.

"Saya melakonkan watak Eddie yang selalu mengangkat dirinya sebagai ketua dalam kumpulan yang disertainya. Dia berlagak pandai dan hakikatnya dia bukanlah tahu apa-apa," katanya.

Idris berkata, ini kali ketiga dia terbabit dengan projek di bawah produksi JS Pictures.

"Kali pertama saya jadi pelakon sebabak atau cameo untuk drama Ahli Mesyuarat Tingkap. Kali kedua pula dengan drama Mr Donat Karamel," katanya.

PELAKON Idris Khan disebalik tabir pengambaran drama Trauma di Kuang. - Foto Mahzir Mat Isa
PELAKON dan model, Idris Khan Abdul Ghaffar. - Foto Munira Abdul Ghani
Berita Harian X