Selasa, 8 November 2016 | 9:47am

Melaka lancar aplikasi permainan maya #Melaka755 Quest di WTM

MOHAMED Nazri (tengah) merasmikan gerai pameran pelancongan Melaka di WTM 2016 di London.

MELAKA: Kerajaan Melaka melancarkan aplikasi permainan maya dikenali #Melaka755 Quest yang memaparkan pelbagai maklumat mengenai produk terkini pelancongan ditawarkan negeri itu.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, pada pameran World Travel Market 2016 (WTM 2016) di London, yang bermula semalam hingga esok.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata aplikasi permainan maya diperkenal dan dilancarkan itu adalah laluan terbaik dalam mempromosikan Melaka serta merapatkan hubungan dengan pemain industri global.

"#Melaka755 Quest dibangunkan Tourism Melaka dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM) bertujuan memberi pengalaman interaktif lebih menyeronokkan kepada pelancong luar dalam mengenal pasti lokasi bersejarah, tempat menarik dan makanan sedap di Melaka," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

WTM 2016 adalah platform untuk mengetengah dan mempromosikan industri pelancongan negara kepada pelancong Eropah yang mengumpulkan lebih 100,000 pengunjung perdagangan dari 182 negara.

Turut hadir pada pelancaran itu adalah Pegawai Kewangan negeri, Datuk Roslan Ibrahim; wakil dari Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Perbadanan Ketua Menteri Melaka dan TM Melaka.

Dalam perkembangan sama, Idris berkata, jumlah kedatangan pelancong Eropah ke Melaka meningkat kepada 212,524 orang tahun lalu, berbanding 174,708 orang tahun sebelumnya berdasarkan statistik direkodkan Tourism Melaka.

"Sehubungan itu, saya berharap jumlah itu akan terus meningkat tahun ini selaras usaha agresif kerajaan negeri menarik kedatangan pelancong, terutama dari United Kingdom ke Melaka," katanya.

Berita Harian X