Selasa, 8 November 2016 | 12:55pm

Waspada tawaran keahlian syarikat pelancongan

KETUA Pemuda MCA Ipoh Barat, Aldrich Low (dua dari kanan) memotong kad keahlian mangsa penipuan syarikat pengendali pelancongan, Tan Lay Yen, 26, (dua dari kiri) ketika sidang media di Pejabat MCA Perak, Ipoh.- Foto Muhammad Zulsyamimi Sufian Suri

IPOH: Orang ramai harus berwaspada sebelum menjadi ahli kepada mana-mana agensi pelancongan yang menawarkan pelbagai tawaran istimewa pakej pelancongan kepada ahli.

Ketua Pemuda MCA Ipoh Barat, Aldrich Low, berkata Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan tidak pernah mengiktiraf atau menyokong sebarang pengeluaran kad keahlian pelancongan selain sudah mengeluarkan surat larangan penjualan kad keahlian oleh sebarang agensi pelancongan bermula 11 Januari 2008.

"Berdasarkan maklum balas yang saya terima daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, walaupun syarikat berkenaan sah didaftar dan dilesenkan di bawah kementerian itu, pengeluaran kad keahlian pelancongan tidak diiktiraf oleh kerajaan.

"Jadi, saya ingin menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap sebarang tawaran daripada syarikat pengendali pelancongan yang mengenakan premium tahunan bagi mendapat kad keahlian yang kononnya menawarkan pelbagai keistimewaan termasuk diskaun percutian, hotel, taman tema, serta insurans kemalangan peribadi," katanya pada sidang media di Pejabat MCA Perak, di sini, hari ini.

Sidang media itu dibuat susulan kes seorang mangsa, Tan Lay Yen, 26, yang membuat laporan polis serta Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) selepas berasa tertipu apabila tidak dapat membatalkan keahliannya bagi pakej pelancongan berserta insurans yang dibeli atas tawaran dalam talian daripada sebuah syarikat pengendali pelancongan.

Menerusi kenyataannya, Lay Yen mendakwa dipaksa membayar premium tahunan sebanyak RM330 setahun bagi mendapatkan keistimewaan sebagai ahli walaupun ingin menamatkan keahliannya pada tahun ini.

"Saya mula mendapatkan keahlian dari syarikat itu sejak tahun lalu namun selepas berasa rugi berikutan tidak kerap melancong, saya bercadang menamatkan keahlian tahun ini.

"Bagaimanapun, apabila pembatalan untuk tahun ini diusulkan, syarikat berkenaan enggan menamatkan keahlian saya dan memaksa saya membayarnya untuk tahun ini," katanya.

Low bagaimanapun menyifatkan kes berkenaan sudah selesai selepas syarikat terbabit mengembalikan semula wang yang dicaj daripada kad kreditnya sebanyak RM660 iaitu pembayaran untuk tempoh dua tahun.

"Walaupun kes ini sudah selesai, namun saya sarankan agar orang ramai yang pernah atau sedang mengalami kejadian serupa agar membuat laporan kepada polis serta TTPM bagi mengelakkan perkara ini berulang selain dapat mengembalikan hak mereka," katanya.

Berita Harian X