Selasa, 8 November 2016 | 2:49pm

Kerja balik pulih jalan Teluk Bahang ambil dua minggu


KERJA baik pulih runtuhan tanah di Jalan Ujung, Teluk Bahang. - Foto BERNAMA

BALIK PULAU: Kerja baik pulih runtuhan tanah di Jalan Ujung, Teluk Bahang, dijangka siap sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu.

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Barat Daya, Samsul Nizam Zulkapli, berkata kerja baik pulih struktur jalan dan lereng bukit yang runtuh itu bagaimanapun bergantung kepada keadaan cuaca semasa.

"Paling awal ia (kerja baik pulih runtuhan jalan dan lereng bukit) dapat disiapkan dalam dua minggu, bagaimanapun mungkin akan lebih lama jika cuaca hujan.

"Sehingga kini, JKR negeri sudah memulakan kerja awal membabitkan proses menanam cerucuk di bahagian runtuhan, selain meneliti kesan pergerakan tanah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan, Datuk Seri Zainal Abidin Osman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussein Shah dan pakar cerun, Kamal Bahrin Jaafar.

Sementara itu, Zainal Abidin turut mengumumkan peruntukan sekurang-kurangnya RM500,000 bagi projek baik pulih kawasan runtuhan terbabit.

Berita Harian X