Selasa, 8 November 2016 | 4:30pm

Perlis dijangka hilang lebih separuh pemain

KANGAR: Lebih separuh pemain Singa Utara dijangka 'angkat kaki' berhijrah ke pasukan lain bagi saingan liga musim hadapan.

Menurut sumber, beberapa isu dalaman pasukan yang belum diselesaikan mendorong sebahagian pemain meninggalkan pasukan berkenaan.

"Masalah gaji lewat dan kontrak baru masih belum ditawarkan mendorong mereka mahu berhijrah.

"Kesemua pemain berada dalam keadaan gelisah kerana Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) tidak memaklumkan kedudukan kesemua pemain sama ada kekal atau tidak dalam perancangan pasukan pada musim hadapan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sumber itu berkata, kedudukan ketua jurulatih, Dollah Salleh, yang dikatakan bakal membimbing pasukan lain turut menjadi faktor pemain mengangkat kaki.

"Kebanyakan pemain pada musim ini dibawa masuk oleh Dollah dan masing-masing khuatir khidmat mereka tidak diperlukan bakal jurulatih baharu," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan Perlis, Afifi Osman, mengakui pasukan itu mempunyai masalah tunggakan gaji tetapi ia akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.

"Isu tunggakan gaji itu ada tetapi hanya separuh bulan saja dan akan diselesaikan sebelum kontrak pemain berakhir hujung bulan ini," katanya.

Berita Harian X