Selasa, 8 November 2016 | 9:51pm

Kafe MRSM Baling ditutup susulan 68 pelajar keracunan


PENGARAH Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail . - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Kedah mengesahkan seramai 68 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Baling dikejarkan ke hospital berikutan mengalami keracunan makanan selepas menikmati makanan di kafe sekolah itu.

Pengarahnya, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata semua pelajar dari tingkatan dua hingga lima itu dikesan mengalami gejala cirit birit, muntah dan loya awal pagi semalam, selepas disyaki menikmati sambal merah, nasi putih, nasi goreng dan ayam goreng yang dibeli dari kafe sekolah.

Beliau berkata, daripada jumlah itu hanya 23 pelajar termasuk dua pelajar lelaki dimasukkan ke wad di Hospital Baling, manakala selebihnya hanya dirawat sebagai pesakit luar.

"Pejabat Kesihatan Daerah Baling menerima notifikasi kejadian keracunan makanan dalam kalangan pelajar berusia 14 hingga 17 tahun dari MRSM Baling pada jam 8 malam semalam dan susulan itu siasatan segera dijalankan.

"Ia termasuklah penutupan kafe MRSM itu mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya dalam satu kenyataan, di sini petang tadi.

Pada masa sama, Dr Norhizan berkata, pihaknya juga sudah mengambil sampel makanan dan persekitaran ujian makmal selain melakukan pemantauan berterusan di situ.

Berita Harian X