;
Selasa, 8 November 2016 | 10:50pm

Syarikat penerbangan bebas pilih KLIA atau klia2 - MAHB

KUALA LUMPUR: Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) mengalu-alukan syarikat penerbangan untuk menggunakan mana-mana terminal yang bersesuaian dengan model perniagaan dan kecekapan operasi mereka.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali, berkata Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) dan klia2 adalah sebahagian daripada sistem rangkaian lapangan terbang yang sama.


PENGARAH Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali. - Foto Syamsi Suhaimi

Sebagai pengendali lapangan terbang itu, katanya, MAHB mengalu-alukan syarikat penerbangan untuk menggunakan mana-mana terminal yang bersesuaian dengan model perniagaan dan kecekapan operasi mereka.

"Bagaimanapun, keperluan itu hanya boleh dipenuhi berdasarkan kesediaan kapasiti di terminal, pada asas siapa dahulu akan diberi keutamaan," katanya ketika ditanya mengenai hasil pertemuannya dengan syarikat penerbangan AirAsia, semalam.

Badlisham berkata, memandangkan MAHB belum menerima cadangan daripada AirAsia untuk memindahkan operasi mereka ke Terminal Utama KLIA, cadangan itu perlu dikaji dengan teliti terlebih dahulu.

Katanya, pertemuan dengan syarikat penerbangan tambang rendah itu adalah mesyuarat biasa dianjurkan oleh MAHB selaku pemegang kepentingan dengan rakan kongsi penerbangan dan agensi kerajaan bagi berbincang perkara mengenai operasi.

"AirAsia memilih untuk menyatakan hasrat mereka hendak memindahkan operasi ke Terminal Utama KLIA dan kami sudi mendengar permintaan mereka," katanya.

Badlisham juga menjelaskan, ia terus melangkah ke hadapan dalam pelaksanaan inisiatif `Runway to Success 2020' (RtS2020) - pelan perniagaan lima tahun mereka.

Dua daripada keutamaan strategik di bawah RtS2020 ialah menjadikan KLIA sebagai hab ASEAN yang digemari dan meningkatkan keseluruhan pengalaman lapangan terbang.

Justeru, mesyuarat tahap kerja dan tahap pengurusan dengan pihak berkepentingan berkaitan lapangan terbang dipergiatkan untuk menjadikan pintu masuk utama Malaysia itu sesuatu yang menarik kepada pelancong.

Menurut Badlisham, pertemuan dengan AirAsia adalah pembabitan berterusan untuk membincangkan pelbagai perkara berkaitan operasi seperti kecekapan operasi penerbangan dan lapangan terbang.

Katanya, ia juga bagi membincangkan rancangan syarikat penerbangan itu untuk menjadikan klia2 sebagai hab sambungan bagi syarikat penerbangan kos rendah.

"Sebagai contoh, mesyuarat yang sama telah pun dijadualkan dengan Malaysia Airlines dan Jabatan Imigresen Malaysia pada minggu keempat November tahun ini," katanya.

227 dibaca
Berita Harian X