Rabu, 9 November 2016 | 12:43am

Sindiket Macau Scam warga China tumpas

ANTARA rakyat China yang ditahan dalam serbuan ke atas markas sindiket penipuan Macau Scam petang semalam. - Foto Ihsan PDRM

KUALA LUMPUR: Sebuah apartmen di Mont Kiara dan sebuah rumah di Taman OUG di sini, yang dikesan menjadi markas sindiket penipuan Macau Scam diserbu, petang semalam.

Seramai 43 rakyat China termasuk enam wanita serta seorang rakyat tempatan ditahan dalam serbuan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada jam 1 petang itu.

Difahamkan, rakyat tempatan yang ditahan itu berperanan sebagai penghantar bekalan makanan untuk anggota sindiket berkenaan.

Ketua JSJK Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata serbuan itu susulan maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa China mengenai kegiatan Macau Scam yang menjadikan rakyat negara itu sebagai mangsa penipuan.

"Semua mangsanya adalah rakyat China yang menjadi ahli satu rangkaian pasar raya di negara itu.

"Mangsa menerima panggilan telefon kononnya pihak pasar raya itu memaklumkan bayaran untuk pembelian barangan atau perkhidmatan tidak diterima dan menuduh mangsa menggunakan identiti palsu atau kad kredit palsu seterusnya akan merujuk perkara berkenaan pada polis atau bank," katanya dalam satu kenyataan, tadi.

Katanya, mangsa diugut akaun banknya akan dibekukan dan bagi mengelak perkara itu, mangsa perlu membayar sejumlah wang kepada akaun tertentu.

"Kita masih meneruskan siasatan bagi memastikan modus operandi sebenar sindiket terbabit dan setakat ini tiada rakyat negara ini yang menjadi mangsa.

"Kita sedang menjalankan urusan dokumentasi dan pihak berkuasa China sudah dimaklumkan mengenai kejayaan ini," katanya.

Berita Harian X