Rabu, 9 November 2016 | 7:41am

Inter lantik Pioli ganti De Boer


JURULATIH berpengalaman, Stefano Pioli. - Foto AFP

MILAN: Inter Milan melantik jurulatih berpengalaman, Stefano Pioli sebagai jurulatih ketiga mereka dalam tempoh empat bulan susulan pemecatan Frank de Boer dari Belanda, minggu lalu.

Pasukan yang baru diambil alih oleh pemilik dari China pada Jun lalu itu bergelut dengan persembahan buruk mereka musim ini dan kini menduduki tempat kesembilan dalam Serie A dan terakhir dalam kumpulan Liga Europa selepas permulaan hambar dalam kempen kali ini.

Piloi yang berumur 51 tahun bakal berdepan cabaran besar dalam permulaannya bersama kelab itu - dengan perlawanan menentang musuh tradisi, AC Milan pada 20 November ini.

Berasal dari Itali, Piloi menandatangani kontrak sehingga Jun 2018 untuk mengisi kekosongan De Boer, yang dipecat minggu lalu susulan kekalahan 1-0 kepada Sampdoria, dengan Inter mencatatkan kekalahan kelima dalam 11 perlawanan.

Pioli mempunyai pengalaman luas dengan sebelum ini membimbing banyak kelab di Itali termasuklah Parma, Sassuolo, Bologna dan Lazio, membawa pasukan itu di tempat ketiga Serie A pada 2015, sebelum dipecat pada pertengahan musim lalu.

Sejak De Boer dipecat, jurulatih pasukan remaja, Stefano Vecchi membimbing pasukan itu yang menyaksikan mereka tewas 2-1 kepada Southampton dalam aksi Liga Europa dan bergelut untuk menewaskan pasukan tercorot, Crotone dalam Serie A.

Pemilik baru kelab itu dari China, Sunning melantik De Boer sebagai pengganti Roberto Mancini pada dua minggu sebelum bermulanya musim Serie A, yang diberi tanggungjawab untuk memulihkan reputasi Inter di laman sendiri dan di Eropah.

Tugas itu kini digalas Pioli, bekas pertahanan yang bermain banyak kelab di Itali termasuklah Juventus dan Fiorentina, sebelum bersara sebagai pemain dan mengambil alih tugas dalam pengurusan bola sepak. - AFP

Berita Harian X