Rabu, 9 November 2016 | 7:58pm

Rambut Kodi gugur gara-gara produk berasaskan kimia

Pelakon, Kodi Rasheed atau nama sebenar Mohd Shazmeer Mohd Rasheed. - Foto Mahzir Mat Isa

KUALA LUMPUR: Sebagai pelakon, Kodi Rasheed memang mengambil berat mengenai penampilan diri dan imej dalam usaha memastikan kerjaya seninya dapat bertahan buat tempoh waktu yang lama.

Justeru, apabila artis muda berbakat ini mengalami masalah rambut gugur, sejak setahun lalu, perkara itu tentu saja merunsingkan dirinya.

Namun, bagai orang mengantuk disorongkan bantal, Kodi mengaku dirinya amat bertuah apabila sebuah pusat rawatan di Setapak, Pesona Clinic, sudi menghulurkan tajaan penjagaan rambut untuknya.

Pada awalnya, bintang Ophilia ini hanya sekadar ingin mencuba rawatan di pusat berkenaan. Berikutan itu beliau tidak percaya apabila mereka menghulurkan tawaran berkenaan kepadanya selain membantu beliau mengatasi masalah dihadapi.

"Jika diikutkan, masalah rambut gugur yang saya alami ini sudah berlarutan sejak hampir dua tahun lama. Saya akui, keghairahan menggunakan produk berasaskan bahan kimia sewaktu remaja membuatkan kesannya dirasai sekarang.

"Dulu, saya memang ada mencuba pelbagai warna rambut. Begitu juga dengan syampu, berbagai-bagai jenis yang sudah dicuba. Kononnya, nak bereksperimentasi dan bergaya. Malah, saya juga pernah ke salun untuk mendapatkan gaya rambut ala Bob Marley," kata Kodi yang turut terbabit dalam filem KL Wangan.

Pelakon ini berkata, beliau pernah dilanda kerisauan apabila tindakannya membotakkan kepala dalam Ophilia menyaksikan pertumbuhan semula rambut berlaku dengan kadar perlahan.

"Saat itu, saya cuak juga kerana rambut tumbuh semula dengan perlahan. Dulu, rambut saya boleh jadi tebal jika beberapa bulan saja tidak memotongnya. Namun, gara-gara menggunakan produk bahan kimia, pertumbuhan rambut saya jadi terbantut.

"Alhamdulillah, sejak dua bulan lalu, saya mula mendapatkan rawatan di klinik terbabit. Malah, ada beberapa rakan artis lain juga mendapatkan perkhidmatan sama. Selepas beberapa kali berkunjung ke sana, rambut saya mula tumbuh macam biasa," katanya.

Sejak membuat rawatan rambut juga, wajah Kodi dikatakan kelihatan agak berbeza. Malah, dirinya pernah disangka menjalani pembedahan pada muka.

"Saya memang tidak pernah cucuk apa-apa pun di muka. Setakat buat rawatan wajah itu biasalah. Sebelum jadi pelakon lagi saya memang suka bergaya dan jaga penampilan," katanya.

Berita Harian X