Khamis, 10 November 2016 | 2:46pm
PELANCONG dibawa dengan kenderaan khas melawat dusun.
PELANCONG dibawa dengan kenderaan khas melawat dusun.

Pelbagai tarikan di Desaru

SETIAP kali ke Johor, penulis hanya singgah di Sanrio Hello Kitty dan Legoland di Nusajaya sebelum mengakhiri kunjungan dengan membeli belah di Johor Premium Outlet (JPO) di Kulai.

Hakikatnya, Johor yang menjadi pintu gerbang utama pelancong dari seberang tambak menawarkan pelbagai destinasi menarik untuk diterokai bermula dengan sejarah kesultanan berasal dari Melaka, hidangan enak tempatan seperti lontong dan kacang pool selain pantai laut biru atau pulau eksklusif bagi melengkapi percutian.

Oleh kerana negeri ini sangat luas, pengembaraan penulis dengan memandu kereta Nissan Almera Nismo yang memilih Desaru, Kota Tinggi, Pengerang dan sekitar Johor Bahru. Bagi penulis, keletihan memandu kereta Nissan Almera NISMO dalam tempoh lama bagi perjalanan jauh ini tidak dirasai. Ini kerana Almera Nismo menampilkan keselesaan, selamat selain menjimatkan kos petrol.

Lebih-lebih lagi bagi edisi baharu ini turut tampil dengan inovasi stereng yang

dilengkapi butang kawalan audio, Fine Vision Meterdengan Paparan Multi Maklumat (MID) dan konsol tengah yang direka semula serta kemasan hitam piano yang premium sekali gus menjadikan pemanduan lebih bergaya.

18.4 hektar keluasan Desaru Fruit Farm Agro-Tourism.
18.4 hektar keluasan Desaru Fruit Farm Agro-Tourism.

100 buah tropika

Bagi menguji keselesaan Almera Nismo, penulis dan jurugambar memilih untuk memandu terus ke Desaru yang mengambil masa lima jam perjalanan dari Kuala Lumpur.

Kami terus ke Desaru Fruit Farm Agro Tourism yang menjanjikanlebih seratus buah-buahan tropika. Ia memang dibina bukan sekadar sebagai dusun tetapi juga tarikan pelancong. Malahan, dusun ini dilengkapi dengan kemudahan

permainan paintball dan gokart. Khusus untuk pencinta haiwan, jangan lepaskan

peluang bermesra bersama haiwan jinak seperti anak, kambing, ayam serama, ayam belanda dan burung unta yang ditempatkan dalam mini zoo dengan mengambil latar suasana perkampungan.

Nikmati jus manis markisa

Kunjungi juga taman herba yang menawarkan puluhan spesies pokok biasa ditemui di kampung seperti jambu, markisa, cempedak malah sekiranya bernasib baik, dapat bergambar dengan pokok buah pisang seribu yang tidak selalu ditemui di luar.

Di situ juga, ditempatkan beberapa kotak kecil untuk pembiakan lebah kelulut. Penat berjalan, pelancong boleh menunggu trak yang bertolak setiap sejam untuk membawa keluar dari ladang itu namun sebelum itu, nikmati jus buah manis markisa dan limau kasturi yang dijual di kedai kecil dalam taman herba.

Seolah-olah satu kerugian apabila ke Desaru tetapi tidak melapangkan masa inggah di deretan pantai indahnya iaitu pantai Desaru, Tanjung Balau dan Batu Layar.

Penulis memilih awal pagi untuk menyusuri pantai Desaru yang terkenal dengan pasir halus, laut biru namun sekali-sekala berombak kecil manakala pohon kelapa yang tumbuh di sesetengah tempat membawa pengaruh Maldives di situ. Matahari garang menyelar kulit namun angin sepoi-sepoi bahasa yang mengelus tubuh turut membawa aroma laut yang menyegarkan.

Sempat berselfie berlatar belakangkan pepohon kelapa dan 'banana boat' sayup kelihatan, tersenyum seketika menerima balasan Whatsapp seorang teman, "Awak di Maldives?".

"Tidak, pantainya bersih dan terpelihara. Berbaloi bayaran masuk RM4 sekiranya berkereta ke sini," balas penulis. Bagaimanapun, pantai Batu Layar di Pengerang, Kota Tinggi kira-kira 20 minit pemanduan dari pantai Desaru kelihatan tidak bersih kerana sampah sarap bertaburan merata-rata.

Ia agak menyedihkan kerana pantai itu memiliki batuan unik terhasil daripada fenomena alam selain menyediakan kawasan merimbun pokok sesuai untuk mendirikan khemah dan barbeku.

Kilang Bateri,Pandan Uptown

Tertarik mencuba makanan di kafe hipster, Kilang Bateri terletak di Tampoi pilihan utama untuk bersantai pada sebelah malam.Asalnya tapak kilang bateri Eveready namun lebih setahun lalu diubahsuai menjadi tempat melepak vintaj menerusi lebih 10 tempat makan.

Turut ditawarkan pembelian jenama pakaian popular belian atas talian, kedai buku, kedai gunting rambut, ruang khas bermain papan selaju (skateboard), litar lumba kereta beroperasi dengan bateri sementara ruang tengah kilang menempatkan pentas khas bagi memenuhi keperluan acara dan persembahan muzik.

Pengubahsuaian mengubah status menjadi kedai melenyapkan struktur asal kilang namun berhadapan Kedai Gunting Rambut 1855, ditinggalkan sepasang bangku konkrit dengan penyandar bertulis Eveready sebagai penghargaan terhadap kewujudan kilang itu suatu ketika dahulu.

Rambang mata di Pandan Uptown

Selain Kilang Bateri, penulis membawa Nissan Almera Nismo yang kelihatan sporty ini mengunjungi pasar malam Pandan Uptown terletak di Pandan City. Binaan gerbang besar bertulis Pandan Uptown dengan limpahan lampu jalan melengkapi suasana beli-belah yang menunggu anda menerusi puluhan kedai menawarkan aneka barang dari pakaian berjenama tetapi dijual harga mampu milik, gajet telefon pintar, produk kecantikan, makanan ringan dan bermacam lagi. "Hanya sediakan duit, berbondong barang boleh dibeli," kata teman yang rambang dengan pelbagai kasut 'bundle' jenama terkenal.

Penulis juga berkesempatan mengunjungi Bangunan Sultan Ibrahim terletak di atas Bukit Timbalan. Bangunan berbatu kelabu yang dulunya adalah bangunan urus setia negeri menakjubkan kerana mempersembahkan pertemuan seni bina Timur dengan Barat garapan firma terkemuka, Palmer and Turner. Selesai pembinaan pada tahun 1940, ia dilaporkan bangunan tertinggi di Tanah Melayu ketika itu sehingga muncul Menara Merlin pada tahun 1970-an.

Berita Harian X