Khamis, 10 November 2016 | 5:54pm

Sazzy teringin timang anak lagi

PELAKON dan ahli perniagaan, Sazzy Falak bersama suaminya, Nazril Idrus. - Sumber Instagram
PELAKON dan ahli perniagaan, Sazzy Falak bersama suaminya, Nazril Idrus. - Sumber Instagram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan ahli perniagaan, Sazzy Falak, 35, tidak menolak untuk menimang cahaya mata lagi andainya diberikan rezeki untuk berbuat demikian.

Ketika ini, hasil perkahwinannya bersama perunding kewangan, Nazril Idrus, 42, mereka dikurniakan anak kembar, Iman Lily dan Tiara Rose, 5 tahun.

"Semestinya kalau ada rezeki, saya mahukan keluarga yang besar. Begitupun, tidaklah besar sangat, nanti susah untuk saya menjaga mereka nanti," seloroh Pelakon Pembantu Wanita, Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 ini.

Kata Sazzy, jika Tuhan mengurniakan mereka seorang lagi cahaya mata sekali pun, ia sudah dianggap anugerah yang tidak terperi.

SAZZY Falak, suami dan anak-anaknya.
SAZZY Falak, suami dan anak-anaknya.

Pada 8 November lalu, genap 10 tahun usia perkahwinan Sazzy dan Nazril. Bagi meraikan detik istimewa itu pula, pasangan berkenaan bersama-sama anak terbang ke Maldives pada hari bersejarah mereka dan berada di lokasi peranginan terkenal terbabit sehingga 15 November.

Ketika dihubungi sebentar tadi, Sazzy berkata, tiada apa lagi yang diharapkan daripada perkahwinan itu selain kebahagiaan berpanjangan bersama insan tercinta.

"Saya juga berharap dapat melakukan lebih banyak kembara indah bersama keluarga tersayang kerana ia antara aktiviti yang membuatkan perhubungan antara kami lebih utuh," katanya.

Menurut bintang Gol dan Gincu ini, seperti pasangan lain juga, mereka turut berdepan pasang surut kehidupan. Namun, masing-masing sentiasa berusaha agar mahligai yang dibina terus dilimpahi keberkatan dan nilai positif.

"Suami saya sendiri seorang yang sangat positif dalam hidup dan sentiasa berusaha untuk menambah baik bukan saja kehidupan kami sekeluarga, tetapi orang lain juga.

"Kami selalu bersyukur dengan apa yang ada di depan mata. Di samping itu, komunikasi turut menjadi teras rumah tangga kami.

"Selain itu, saya selalu memintanya membawa saya untuk 'berdating'. Semua itu bukanlah untuk memanjakan diri atau seumpamanya, sebaliknya lebih kepada usaha memastikan kami berdua mempunyai ruang untuk duduk bersama-sama dan berborak. Ketika itulah kami bercerita apa saja yang mahu dikongsikan," katanya.

Berita Harian X