Khamis, 10 November 2016 | 8:04pm

JKM cari waris Aidil dan Lily

- Foto Ihsan JKM

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur memohon kerjasama orang ramai untuk mengesan ibu bapa atau waris kepada dua kanak-kanak bagi tujuan urusan perlindungan selaras dengan peruntukan Seksyen 15(3) Akta Kanak-kanak 2001.

Kanak-kanak berkenaan, Aidil Ilyas, 8, dan Lily, 4, kedua-duanya mempunyai kisah berbeza sehingga terpaksa diserahkan kepada pihak JKM dan kini diletakkan sementara di Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah, Cheras dan Rumah Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz, Kuala Kangsar, Perak.

Timbalan Pengarah JKM Kuala Lumpur, Liah Pariuk, berkata Aidil diserahkan kepada JKM sejak 26 September lalu oleh keluarga kepada seorang lelaki yang menjaganya tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

"Lelaki berkenaan adalah rakan kepada bapa kandung Aidil yang sedang menjalani hukuman penjara. Namun selepas dia ditahan polis baru-baru ini, Aidil diserahkan kepada keluarganya untuk dijaga.

"Namun, keluarga lelaki itu mengambil keputusan tidak mahu terus menjaga kanak-kanak itu atas sebab tertentu dan menyerahkannya kepada kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kanak-kanak perempuan dipercayai berbangsa Cina dikenali dengan nama Lily pula ditemui oleh orang awam ditinggalkan bersendirian di Medan Selera Kepong, di sini.

"Orang awam yang menemuinya menyerahkan kanak-kanak itu kepada polis sebelum dia diserahkan pula kepada JKM. Lily juga tiada dokumen pengenalan diri.

"Pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Bagi Kanak-kanak Kuala Lumpur memerintahkan kanak-kanak itu di Rumah Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz, Kuala Kangsar selama tempoh tiga tahun setelah usaha mengesan keluarga kandung atau warisnya gagal," katanya.

Beliau berkata, JKM mempertimbangkan untuk menyerahkan kanak-kanak itu kepada keluarga angkat yang berdaftar dengan pihaknya sekiranya tiada maklum balas daripada keluarga kandung atau warisnya.

Justeru, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali waris kedua-dua kanak-kanak itu diminta tampil dan berhubung dengan Pegawai Pelindung, Nor Suhaida Umar di talian 03-26124000 atau 03-26124037.

Berita Harian X