Khamis, 10 November 2016 | 9:04pm

Rakyat Malaysia di AS dipantau elak diskriminasi

JOHOR BAHRU: Kerajaan akan memantau rakyat Malaysia terutama pelajar di Amerika Syarikat (AS) bagi memastikan tiada insiden diskriminasi dan ekstremis agama berlaku terhadap kumpulan berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pada masa sama, seluruh negara Islam perlu bersatu dan mengutuk keras tindakan diskriminasi agama sekiranya ia berlaku di mana-mana termasuk AS.


TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto L Manimaran

Katanya, majoriti rakyat di dunia sudah mencapai tahap kematangan yang cintakan keamanan dan keharmonian selain bersedia hidup dalam kepelbagaian agama.

"Buat masa ini saya rasa sudah tentu kerajaan pantau apa yang berlaku di AS, tetapi hakikat siapa yang nak mainkan sentimen agama di mana-mana sekalipun, majoriti rakyat dunia adalah mereka yang cintakan keamanan dan keharmonian.

"Saya tidak rasa AS sebagai kuasa besar dunia dan sentiasa agungkan serta nobatkan diri mereka sebagai pejuang hak asasi manusia akan membiarkan elemen atau dasar yang bertentangan dengan hak asasi manusia sejagat berlaku di negara mereka.

"Jika berlaku perkara sedemikian, seluruh dunia seharusnya bersatu dan kutuk tindakan ekstremis yang berlaku di mana-mana negara," katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan syarahan bertajuk 'Islam-Pemacu gelombang ketiga kelangsungan UMNO' sempena Konvensyen UMNO Johor di sini, hari ini.

Asyraf berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai nasib rakyat Malaysia di AS selepas Donald Trump memenangi pilihan raya Presiden, semalam.

"Sebagai rakyat Malaysia, semua perlu kekal setia dengan dasar negara dan tidak mudah terpengaruh dengan propaganda yang sebenarnya mengganggu keharmonian," katanya.

12 dibaca
Berita Harian X