Jumaat, 11 November 2016 | 8:45am

F1: Ferrari kemuka rayuan penalti ke atas Vettel

SEBASTIAN Vettel. - Foto EPA
SEBASTIAN Vettel. - Foto EPA

SAO PAULO: Ferrari mengemukakan permohonan kepada Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIA) bagi mengkaji semula keputusan pegawai perlumbaan yang mengenakan penalti kepada Sebastian Vettel di Grand Prix (GP) Mexico.

Juara dunia empat kali itu dikenakan penalti 10 saat kerana memandu secara berbahaya dalam persaingannya dengan pemandu Red Bull, Daniel Ricciardo.

Ini menyebabkan dia yang mengakhiri perlumbaan di tempat ketiga di atas podium, dan diturunkan ke tempat kelima selepas majlis meraikan kejayaannya.

Dalam permohonannya, Ferrari berkata "elemen baru sudah diperoleh" bagi menyokong pandangan itu, biarpun keputusan tidak boleh diubah, ia adalah penting untuk dijadikan contoh.

"Scuderia Ferrari sudah mengemukakan permohonan kepada pegawai GP Mexico 2016 untuk mengkaji semula keputusan mengenakan penalti kepada Sebastian Vettel kerana melanggar Artikel 27.5 dalam Peraturan Sukan F1 2016 akibat tindakan pemanduannya pada Selekoh 4 di pusingan ke-70," kata pasukan itu dalam satu kenyataan.

"Scuderia Ferrari mengambil kira elemen baru diperoleh selepas keputusan diberikan untuk dikaji semula di bawah Artikel 14.1 dalam Kod Sukan Antarabangsa.

"Scuderia Ferrari sedar ranking kejuaraan tidak akan berubah, biar apa pun keputusan nanti.

"Tetapi adalah penting untuk masa depan, dan untuk memberi penjelasan dalam permohonan peraturan bagi acara di masa depan, Scuderia Ferrari percaya keputusan perlu dikaji semula." - AFP

Berita Harian X