Jumaat, 11 November 2016 | 11:13am

Remaja 16 tahun maut motosikal langgar kereta

SEORANG remaja maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar kereta di persimpangan lampu isyarat di KM34.5 Kuala Lumpur - Ipoh, Serendah, malam tadi.

HULU SELANGOR: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di Kilometer 34.5, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh hala ke Pekan Serendah di sini, malam tadi.

Dalam nahas jam 11.15 malam itu, Mohamad Alif Ramlan dari Jalan Haji Ibrahim, Kampung Sungai Choh, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam, berkata siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dari arah Rawang ke Pekan Serendah dipercayai tidak berhenti ketika lampu isyarat berhampiran sebuah stesen minyak di situ bertukar merah.

"Pada masa sama, sebuah PERODUA Bezza dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun dari arah Pekan Serendah sedang membelok ke kanan untuk masuk ke jalan Kampung Damai Tambahan, menyebabkan penunggang motosikal itu merempuh bahagian sebelah kiri kereta terbabit.

"Akibat rempuhan itu, mangsa yang tidak memakai topi keledar melambung ke cermin hadapan kereta sebelum jatuh di atas jalan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pemandu kereta berkenaan tidak cedera dan kemalangan diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X