Jumaat, 11 November 2016 | 6:38pm

Majlis khatam perdana guna al-Quran Braille bulan depan


DARI kanan; Wan Mohd Fadhil Wan Pauzi, 28, Zamzuri Ghani, 41 dan Muhammad Lee Abdullah, 49 membaca Al-quran Braille elektronik sempena Majlis Khatam Al-quran dan Selawat Perdana yang bakal berlangsung pada 12 December 2016 ini di Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia, Brickfields. - Foto Saddam Yusoff

KUALA LUMPUR: Majlis Khatam al-Quran dan Selawat Perdana yang bakal dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi penyertaan paling ramai khatam al-Quran menggunakan al-Quran Braille, akan diadakan 12 Disember ini.

Program anjuran Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (Gerakwanis) dengan kerjasama Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) itu akan diadakan di Masjid Mua'adz Bin Jabal, Persiaran Setiawangsa, di sini.

Pengerusi Gerakwanis, Bibi Sunita Sakandar Khan, berkata peserta terdiri mereka yang cacat penglihatan, pelajar tahfiz, di samping mengetengahkan peserta Celik al-Quran (CQ) daripada golongan asnaf.

"Dijangka 2,000 peserta akan menyertai khatam al-Quran Braille ini, termasuk 85 peserta CQ dan 500 daripada mereka yang cacat penglihatan dari beberapa negeri.

"Program bertujuan mendekatkan masyarakat kepada mereka yang kurang bernasib baik, namun berkebolehan membaca al-Quran serta celik hatinya.


Pengerusi Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia, Bibi Sunita Sakandar Khan. - Foto Saddam Yusoff

"Majlis khatam ini juga sebagai usaha mencari penajaan bagi pembiayaan yuran pengajian kepada asnaf yang mengikuti kuliah pengajian kemahiran membaca al-Quran bersama tenaga pengajar Universiti Malaya," katanya pada sidang media mengenai Majlis Khatam al-Quran dan Selawat Perdana, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Naib Yang Dipertua PERTIS, Zamzuri Ghani; Ketua Unit Penerbitannya, Muhammad Lee Abdullah dan Bendahari majlis Khatam al-Quran dan Selawat Perdana, Sultanah Mohamed Yasin.

81 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »