Sabtu, 12 November 2016 | 12:01am
ALAMIN memantau pekerjanya menyiapkan hidangan di dapur. - Foto Rosman Shamsudin
SAIZ makanan bergantung kepada jumlah pakej yang diminta pelanggan. - Foto Rosman Shamsudin

Dilambak tengah meja, seronok makan beramai-ramai


PENGUSAHA restoran TR Tom Yam House, Al Amin Arshad (kanan) menunjukkan makan laut yang siap sedia untuk dihidangkan kepada pelanggan. - Foto Rosman Shamsudin

MENIKMATI makanan secara lambak atau shell out kedengaran agak pelik tetapi suatu ketika dahulu ia cukup popular, terutama sekitar di majlis keramaian di kampung.

Tuan rumah akan menghidangkan makanan dalam satu bekas besar seperti talam atau di atas daun pisang dan kemudian dimakan secara beramai-ramai.

Kini hidangan konsep 'shell out' diperkenalkan kembali di Restoran TR Tom Yam House di Taman Perwira, Slim River, Perak iaitu melambakkan makanan laut dengan kuantitinya mengikut permintaan pelanggan.

Konsep ini mengutamakan makanan secara berkeluarga, persaudaraan atau persahabatan kerana ia lebih seronok dan nikmat apabila makan secara beramai-ramai.

Ia diusahakan oleh anak peneroka FELDA Trolak Utara, Al Amin Arshad, 29 bersama tiga abangnya, Khaitul Azmi, 47, Ahmad Saidi, 45 dan Ahmad, 41 serta dibantu oleh tukang masak berpengalaman.

Walaupun berkelulusan Diploma Elektronik Komputer di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, namun beliau memilih berkerja sendiri dengan memperkenalkan konsep 'shell out" dengan menyediakan makanan berasaskan makanan laut setiap hari di restoran itu bermula jam 4.00 petang.


PENGUNJUNG Restoran TR Tom Yam House yang sedang menjamu selera. - Foto Rosman Shamsudin

Kaedah semakin popular

Bagi menjamin kesegaran makan laut, setiap hari bermula awal pagi, pengusahanya, Al Amin Arshad akan mengunjungi Pasar Borong Selayang, Selangor untuk mendapatkan bekalan makanan laut seperti sotong, udang, ketam dan kepah serta sayuran bagi memastikan sajian itu menyelerakan serta mampu menambat hati pelanggan.

Al Amin berkata makanan laut akan digoreng terlebih dahulu sebelum dilambakkan di atas meja yang di alas menggunakan dua lapisan iaitu lapisan pertama kertas mahjung di susuli dengan plastik untuk meletakkan makanan .

Makanan laut itu dilambakkan bersama campuran sayuran iaitu salad dan tomato, beberapa ketul jagung dan kemudian diletakkan pula sos ala kari menggunakan resipi tersendiri.

"Ketika mula-mula memperkenalkan konsep ini, pelanggan berasa janggal tetapi lama kelamaan ia semakin popular sehingga kadangkala kami tidak menang tangan terutama pada hujung minggu.

"Uniknya makanan secara lambak ini iaitu pelbagai jenis makanan laut terdapat dalam hidangan ini dan tidak perlu memesan menu tambahan kerana dalam hidangan ini terdapat pelbagai jenis makanan laut serta nasi yang disediakan secara percuma," katanya.

Al Amin berkata, biasanya hidangan secara 'shell out' eloklah dinikmati bersama keluarga dan secara kumpulan kerana melalui hidangan ini akan nampak kemesraan yang terjalin sesama ahli keluarga dan rakan.


RESTORAN TR Tom Yam House sentiasa penuh dengan pelanggan yang datang dari pelbagai daerah dan negeri untuk mencuba keenakkan hidangan di situ. - Foto Rosman Shamsudin

INFO
Restoran TR Tom Yam House.
Lokasi: Taman Perwira, Slim River, Perak.
Waktu Operasi: 4 petang hingga tengah malam.
Panduan: Jika menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) ambil susur keluar Plaza Tol Slim River. Belok ke kiri apabila sampai di lampu isyarat. Restoran ini terletak kira-kira 100 meter dari lampu isyarat.

FAKTA NOMBOR
* RM45 - Hidangan dua orang
* RM75 - Bagi hidangan empat orang
* RM120 - Hidangan 6 orang RM 120.00

Berita Harian X