Sabtu, 12 November 2016 | 11:31am

Protes berterusan, Trump bentuk kerangka kuasa

ORANG ramai membantah perlantikan Donald Trump sebagai Presiden US. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Donald Trump mula membentuk kerangka peralihan kuasa di Rumah Putih dengan melantik pembantunya, Mike Pence untuk mengetuai operasi berkenaan.

Malah, Trump menamakan beberapa orang kuatnya termasuk tiga anaknya sendiri bagi membantu menyaring calon bagi mengisi kabinet.

Rombakan itu dibuat ketika penunjuk perasaan anti-Trump terus memenuhi jalan raya untuk tiga malam berturut-turut.

Bakal presiden itu turut berdepan gesaan untuk meyakinkan rakyat Amerika yang bimbang akan tindakan keras xenofobia di bawah pimpinannya.

Sekurang-kurangnya 1,200 orang, berarak lewat semalam di Washington Square, New York sambil membawa sepanduk "Keamanan dan Cinta" dan "Dinding anda tidak mampu menghalang kami."

Tumpuan penunjuk perasaan di New York semestinya di Menara Trump, lokasi kediaman mewah jutawan hartanah yang juga pemimpin dunia yang sedang giat merancang kerangka langkah pentadbiran seterusnya.

Bakal presiden berusia 70 tahun yang memikul tugas berat untuk membentuk kabinet serta memacu peralihan kuasa yang kompleks, semalam mengumumkan bakal Naib Presiden dipilih, Mike Pence sebagai pemimpin proses itu.

"Mike akan mempunyai peranan yang besar dan beliau sangat berkebolehan," kata Trump dalam satu temu bual dengan The Wall Street Journal.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Republikan, Reince Priebus disebut-sebut bakal mengisi jawatan ketua kakitangan.

Trump turut menarik masuk tiga anaknya dan menantunya, Jared Kushner dalam pasukan peralihan, langkah yang menimbulkan tanda tanya.

Sebelum ini Trump mengumumkan sekiranya menang, beliau akan meletakkan seluruh kepentingan perniagaannya untuk dikendalikan oleh Donald Trump Jr, Eric Trump dan Ivanka Trump. - AFP

Berita Harian X