Sabtu, 12 November 2016 | 11:53am

Osman Aroff dimasyhurkan Pro-Canselor UUM

TAN Sri Osman Aroff.

SINTOK: Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff, dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) yang baharu, hari ini.

Istiadat pemasyhuran itu disempurnakan Tunku Panglima Besar Kedah, Tunku Puteri Tan Sri Intan Safinaz Tunku Abdul Halim, selaku Canselor UUM sempena Majlis Konvokesyen UUM Ke-29 hari ini.

Osman yang memegang jawatan Menteri Besar Kedah selama 11 tahun bermula 18 Januari 1985 dilantik sebagai Pro-Canselor UUM berkuat kuasa 1 September lalu.

Naib canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata pelantikan Osman yang terbukti banyak membawa pembangunan kepada Kedah itu pasti mampu memberikan sumbangan penting kepada universiti berkenaan.

Sempena majlis Konvokesyen UUM Ke-29 seramai 6,737 graduan menerima ijazah masing-masing membabitkan 1,512 graduan pasca siswazah dan selebihnya 5,225 graduan Sarjana Muda.

Dua tokoh turut dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) hari ini iaitu Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tan Sri Samsudin Osman (Pengurusan) dan Pengarah Urusan Ramly Food Processing Sdn Bhd, Datuk Ramly Mokni (Keusahawanan).

Penganugerahan ijazah kepada semua penerima disempurnakan Tunku Canselor UUM.

Berita Harian X