Ahad, 13 November 2016 | 3:45pm

Perompak pecah masuk rumah, belasah mangsa


Keadaan kepala mangsa yang cedera akibat dipukul penyamun di Kampung Titi Ijok, Selama. - Foto Nor Raidah Awang

SELAMA: Seorang lelaki cedera di kepala akibat dibelasah perompak bersenjatakan parang dan pisau sebelum melarikan beberapa barang berharga milik ahli keluarganya dalam kejadian rompakan di sebuah rumah di Kampung Titi Ijok, di sini pagi semalam.

Dalam kejadian jam 6.35 pagi itu, mangsa berusia 20-an dipukul oleh dua penyamun yang memecah masuk rumahnya ketika dia dan ahli keluarga masih tidur.

Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay berkata, mangsa terdengar bunyi biliknya dibuka dan sebaik bangun melihat dua lelaki bertopeng mengarahkannya agar tidak membuat bising.

"Mangsa bersama isteri, anak, ibu, bapa dan tiga anak saudara kemudian dibawa ke ruang tamu rumah sebelum mereka diikat menggunakan wayar dan ditutup mulut dengan kain.

"Suspek kemudian memukul semua mangsa dengan kayu dan mengugut untuk 'potong' mereka dengan pisau dan sebilah parang jika tak dapat barang kemas dan duit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Lian Lay berkata, dua suspek itu kemudian menyelongkar semua bilik dan mengambil empat cincin emas, dua tali kahwin berkalung emas, wang tunai RM500.

"Penjenayah kemudian melarikan diri dengan kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger dengan seorang lagi suspek yang sudah menunggu dalam kenderaan itu," katanya.

Berita Harian X