Ahad, 13 November 2016 | 4:22pm

Masyarakat kembali yakin terhadap TH


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

PASIR MAS: Semua pihak diminta tidak menyebar maklumat palsu berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) sehingga boleh menggugat kepercayaan masyarakat terhadap institusi berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata sebarang maklumat palsu yang disiarkan di laman sosial mudah mempengaruhi masyarakat terutama pendeposit, walaupun maklumat berkenaan tidak benar sama sekali.

"Sehingga kini, tahap keyakinan masyarakat terhadap TH semakin pulih terutama selepas pembahagian dividen yang dianggap terbaik awal tahun ini.

"Malah, statistik pendeposit juga menunjukkan peningkatan setiap bulan, berbanding sebelum ini ada yang tampil mengeluarkan wang mereka gara-gara percaya kepada maklumat palsu.

"Sebab itu saya kecewa terhadap mereka yang percaya hasutan fitnah pihak tertentu sehingga sanggup berbuat demikian walaupun giliran untuk menunaikan ibadat haji sudah hampir.

"Mereka terpaksa menanggung kesan kerana terlalu taksub dengan maklumat yang disampaikan tanpa menyelidik terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pembangunan Islam di Malaysia di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) di Lubok Jong, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Felo Utama Pusat Kajian Syariah Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Shamrahayu Ab Aziz dan Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yassin.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, TH diamanahkan untuk mengendalikan simpanan berkonsep wadiah iaitu menjalankan urusan pelaburan, perniagaan dan sebagainya oleh pendeposit dan wang berkenaan tidak boleh sewenang-wenangnya dibelanjakan.

"Kita sebagai penggerak mencari pelabur dan mengutip pulangan untuk mengagihkan bonus atau dividen kepada penyimpan," katanya.

36 dibaca
Berita Harian X