Isnin, 14 November 2016 | 12:46pm

Mark Zuckerberg janji tangani berita palsu di Facebook


GAMBAR fail, Pengasas dan Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg memberi ucapan di San Francisco pada 12 April, 2016. - Foto AP

LONDON: Pengasas dan Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg, berkata media sosial itu akan berusaha lebih untuk menangani berita palsu sambil terus menyatakan penyebaran cerita tidak benar di Facebook tidak menjejaskan keputusan pilihan raya Amerika Syarikat.

Dalam siaran di laman Facebook lewat Sabtu, Zuckerberg berkata, media sosial itu berharap dapat mengumumkan langkah baru menangani berita palsu 'tidak lama lagi.'

Beliau menulis: "Daripada semua kandungan Facebook, lebih 99 peratus apa yang dilihat pengguna adalah benar.

"Cuma sedikit berita dan cerita palsu. Khabar angin yang wujud tidak terhad kepada pandangan satu pihak atau politik.

"Secara keseluruhan, ia menjadikan amat sukar bagi cerita palsu menukar keputusan pilihan raya."

Katanya, Facebook tidak mahu lagi wujud cerita palsu dan matlamatnya adalah menunjukkan kepada pengguna mengenai kandungan didapati lebih bermakna.

"Kami sudah melancarkan usaha yang membendung berita dan cerita palsu dan kami boleh melakukan lebih lagi.

"Kami sudah mencapai kejayaan dan akan terus berusaha membaiki keadaan," katanya.

Walaupun masalah berita palsu di Facebook bukan baru, pengulas malah Presiden Barack Obama sendiri menimbulkan kebimbangan mengenai peranannya dalam menyebarkan maklumat tidak tepat ketika pilihan raya. - AGENSI

116 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »