Isnin, 14 November 2016 | 2:00pm

Pelari negara semakin serasi - Poad

KUALA LUMPUR: Kem berbentuk jati diri disertai atlet olahraga kebangsaan yang berada di dalam 'Program Kita Juara 2017' bermula Khamis hingga semalam di Gunung Ledang, Johor berjaya memupuk persefahaman antara satu sama lain.

Antara atlet yang menyertai kem itu adalah jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, rakan sepasukan Badrul Hisham Abdul Manap, Nurul Faizah Asma Mazlan dan Olimpian, Zaidatul Husniah Zulkifli.

Jurulatih Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Mohd Poad Md Kassim berkata, kem anjuran Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) selama empat hari itu dilihat berjaya mengeratkan hubungan antara atlet selain menjadikan mereka lebih berdisiplin.

JURULATIH Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Mohd Poad Md Kassim. - Foto Osman Adnan

"Kem transisi yang bermula pada Khamis lalu anjuran MSN, ISN dan KOM memberi impak positif kepada atlet negara dan sebagai seorang jurulatih, rumusan yang boleh saya berikan adalah kami dapat melihat kesungguhan atlet melaksanakan sesuatu misi.

"Sebagai contoh mereka berusaha dan membantu antara satu sama lain untuk sampai ke puncak Gunung Ledang, jadi semangat itu diharap dapat dipraktikkan menjelang temasya Sukan SEA, Kuala Lumpur nanti. Selain itu, daya ketahanan dan kepantasan mereka turut diuji.

"Walaupun masing-masing 'musuh' di trek namun mereka begitu serasi dan mampu memupuk semangat juang tinggi," kata Mohd Poad yang turut menyertai kem terbabit.

Ketika mengulas mengenai perkembangan anak didiknya termasuklah pemegang rekod 100 meter kebangsaan, Khairul Hafiz, Mohd Poad berkata semua pelari tidak mempunyai kejohanan memandangkan berada di penghujung musim namun masing-masing berada dalam fasa persediaan umum.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X