Rabu, 3 Disember 2014 | 1:33pm

Misi MATRADE ke Christchurch promosi eksport bahan binaan

KUALA LUMPUR: Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) kini mengetuai misi 11 syarikat ke Christchurch, New Zealand, bagi mempromosi negara ini sebagai pembekal utama bahan binaan bernilai tinggi, produk serta perkhidmatan.

Misi lima hari bermula 1 Disember lalu, turut memberi peluang kepada peserta mengukuhkan hubungan dengan pelanggan sedia ada selain menarik pelanggan baharu di pasaran Oceania.

Dalam satu kenyataan, MATRADE berkata, antara produk yang akan diketengahkan termasuk kerja-kerja kejuruteraan awam, fabrikasi besi, pintu dan tingkap aluminium, lantai kayu, rangka katil dan sofa, perabot kayu, kabinet dan rak, perabot pejabat dan perkhidmatan pengudaraan dalaman serta perkhidmatan pembersihan bagi penginapan atau projek komersil.

"Christchurch menjanjikan banyak potensi bagi syarikat Malaysia kerana ia sedang melalui proses pembaikan dan pembinaan semula berikutan gempa bumi pada 2011," kata MATRADE.

BIS Shrapnel, yang dikenali kerana analisis dan unjuran terhadap industri pembinaan, turut melaporkan usaha pembangunan semula itu akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang 2015 yang sekali gus meningkatkan nilai Christchurch lima tahun lagi.

Projek berkenaan juga dijangka memacu industri hartanah New Zealand ke satu nilai rekod NZ$10 bilion (RM7.9 billion) setahun.

Peserta misi itu juga akan mengunjungi Pihak Berkuasa Pemulihan Gempa Bumi Canterbury dan Arrow International Ltd selain menyelia mesyuarat perniagaan dengan pengimport berpotensi Christchurch, Wellington dan Auckland.

Setakat ini, sejumlah 66 mesyuarat perniagaan sudah diatur dengan 22 pemaju dan syarikat pembinaan berpejabat di New Zealand. - BERNAMA

46 dibaca
Berita Harian X