Rabu, 3 Disember 2014 | 1:40pm

Ainul Aishah pinang wanita lain untuk cinta hati


PELAKON, Ainul Aisyah. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Selepas tiga tahun tidak berlakon dan menumpukan perhatian kepada perniagaan, Ainul Aishah tidak mampu lagi menanggung kerinduan untuk kembali beraksi di depan kamera.

Pernah menceburi perniagaan aiskrim yogurt, Ainul kini menyasarkan untuk terus memperkasa perniagaan menjual biskut, Ainul A Cookies dan terbaru menjual pakaian wanita di bawah jenama Alove KL pula selain memberi fokus penuh dalam dunia lakonan.

Beberapa bulan lalu, beliau dilamar menjadi teraju utama drama Fajar Di Bukhara arahan Zul Ar'shad bergandingan dengan pendatang baru Azrel Ismail, Maria Farida dan Sasha Saidin dalam produksi itu terbitan Aquila Emas Sdn Bhd untuk saluran RTM. Ia dijangka bersiaran tahun depan.

"Saya mula berlakon pada usia 21 tahun. Saya berhenti seketika pada usia 23 hingga 26 tahun. Kini saya kembali berlakon secara serius ketika mencecah usia 29 tahun. Malah saya juga sudah berjinak-jinak untuk menjadi pengacara.

"Baru-baru ini saya diundang sebagai pengacara lokasi untuk program Primadona di Astro. Saya ke Legoland, Johor untuk tugasan dalam program itu. Ikutkan sejak awalan kerjaya lagi saya pernah mengacara termasuklah untuk portal Gua.com.my," katanya yang juga finalis kategori Pelakon Wanita Harapan, Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM).

Menceritakan lanjut mengenai drama Fajar Di Bukhara, selain di Kuala Lumpur, Ainul dan barisan pelakon serta kru produksi turut berkampung selama sebulan di Uzbekistan. Ainul memegang watak sebagai Citra.

"Saya bawa watak wanita bertudung iaitu Citra yang sanggup meminang wanita lain untuk kebahagiaan suaminya. Selain tertarik dengan naskhah ini, Citra antara watak berat yang saya impikan untuk memantapkan prestasi lakonan.

"Dulu saya agak gentar melakonkan karakter berat seperti Citra. Tetapi kini saya mula mencabar diri dan bersedia untuk menerima watak seumpama itu lagi. Saya banyak menangis demi menjiwai watak Citra.

"Citra dalam drama ini perlu berkongsi kasih suaminya dengan wanita lain. Saya memang banyak bermain emosi dalam drama ini dan berdepan dengan konflik demi konflik. Saya mengharapkan tahun depan juga sebagai tahun untuk habis-habisan berlakon. Insya-Allah," katanya yang turut membintangi filem Pilot Cafe arahan Osman Ali.

Tahun ini saja, Ainul berlakon drama Tol Gate Asmara bergandingan dengan pelakon Izara Aishah dan Keith Foo untuk slot cerekarama TV3 dan Sitkom Cakap Melayulah bergandingan dengan Nabil Raja Lawak, Shahrol Shiro dan Jasmin Hamid untuk saluran Astro.

Tidak ketinggalan, beliau bergandingan dengan Aktres Terbaik FFM26 yang juga pelakon cilik Putri Balqish dalam drama Bidadari Walid arahan Along Kamaludin untuk saluran TV9.

Menyusul selepas itu, dia bergandingan pula dengan pelakon Kamal Adli dalam Sitkom Pesona.

Berita Harian X