Isnin, 14 November 2016 | 4:12pm

Polis Pulau Pinang tumpas sindiket dadah


SUPERINTENDAN Maidu Abu Bakar (dua dari kiri) melihat pelbagai jenis dadah pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, hari ini. - Foto BERNAMA

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang melumpuhkan sindiket pengedaran dadah dalam dua serbuan berasingan membabitkan nilai kira-kira RM407,000, di Bandar Baru Air Itam dan Jelutong, di sini, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Maidu Abu Bakar, berkata lima lelaki berusia lingkungan 23 hingga 26 tahun turut ditahan dalam operasi oleh sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang kira-kira jam 2.30 petang itu.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama pihaknya menahan seorang lelaki di kawasan berhampiran tempat meletak kenderaan di Air Itam di sini, sebelum menemui beberapa paket berisi dadah di dalam poket seluar suspek.

"Hasil siasatan lanjut, berjaya membawa polis ke rumah suspek di Sungai Nibong dan pemeriksaan di dalam rumah berkenaan menemui dadah jenis syabu, ketamin, eramin 5 dan pil ecstasy yang dianggarkan bernilai RM145,000, selain turut merampas wang tunai berjumlah RM20,000.

"Bertindak atas maklumat, kira-kira jam 9.30 malam semalam, polis melakukan satu lagi serbuan di sebuah pangsapuri di kawasan Jelutong.

"Pemeriksaan lanjut menemui 12,572 biji pil eramin 5 dan pil ecstasy di ruang tamu rumah berkenaan yang dianggarkan bernilai RM262,000 serta menahan empat lelaki yang mendiami premis berkenaan," katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Maidu berkata, polis turut merampas sebuah motosikal dan dua kenderaan dipercayai milik suspek.

"Kita percaya sindiket ini sudah bergerak aktif sejak enam bulan lalu dan dadah ini dijual untuk pasaran tempatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X