Isnin, 14 November 2016 | 5:20pm

Ku Rela Dibenci cipta fenomena, lebih 21 juta tontonan di YouTube

AIMAN Tino dan bapanya yang juga komposer lagu Ku Rela Dibenci, Yusri Ishak.

KUALA LUMPUR: Jika sudah namanya rezeki, memang tiada siapa yang mampu menghalangnya lagi.

Begitulah perumpamaan terbaik untuk lagu Ku Rela Dibenci nyanyian Aiman Tino, hasil ciptaan bapanya sendiri, Yusri Ishak, 47.

Kata Yusry yang menghasilkan karya itu bersama isteri, Riena, selaku penulis lirik, awalnya beliau hanya mencipta lagu berkenaan atas dasar suka-suka, sekadar untuk dimuat naik ke laman YouTube.

Begitupun, tuah dan rezeki menyebelahi lagu terbabit. Bukan saja video muzik rasminya sehingga kini sudah ditonton melebihi 21 juta kali di laman popular terbabit, ia turut terpilih antara 12 karya yang bakal berentap pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-31, Januari nanti.

"Lagu ini saya hasilkan bersama isteri sekitar Disember tahun lalu. Malah, ia juga percubaan pertama saya dalam penghasilan lagu.

"Saya sendiri tidak menyangka ia boleh melangkah sejauh ini. Niat asal saya hanyalah untuk mencipta lagu bagi dimuatkan ke YouTube. Nampaknya, ia mengubah nasib anak saya apabila dia dilamar oleh Aries Music Production, bagi tempoh selama tiga tahun," katanya yang pernah bergelar finalis Bintang HMI 1992.

Selepas Ku Rela Dibenci, Aiman, 18, kini muncul pula dengan single kedua berjudul Permata Cinta. Masih mendapat sentuhan bapanya, kali ini sebagai penulis lirik, lagu berkenaan ialah ciptaan komposer baharu, Apit.

"Setakat ini, saya masih mempunyai empat lagi lagu dalam simpanan. Saya juga buat waktu ini lebih cenderung untuk menghasilkan lagu untuk anak sendiri.

"Ada juga pihak yang bertanya sama ada saya berminat untuk mencipta lagu untuk penyanyi lain. Rasanya, saat ini saya belum terfikir ke arah itu. Ilham saya lebih banyak dicurahkan untuk Aiman," kata Yusri yang menggunakan nama pena ACK.

Berita Harian X