Selasa, 15 November 2016 | 8:17am

Trump, Putin mahu jernihkan hubungan AS-Russia


Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump (kiri) dan Presiden Russia, Vladimir Putin. - Foto http://www.thedunlap-tribune.com/

NEW YORK: Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Russia, Vladimir Putin akan cuba "menjernihkan hubungan AS-Russia", kata Kremlin berikutan perbualan telefon di antara kedua-dua pemimpin itu semalam.

Putin dalam perbualan itu mendoakan kejayaan Trump dalam melaksanakan program pilihan raya manakala Trump memuji kempen pilihan raya Putin selain mengharapkan hubungan yang berkekalan dengan Russia.

Sementara itu, Presiden Barack Obama berkata, Trump memberitahunya bahawa beliau komited ke arah memastikan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara atau Nato yang kekal kuat.

Kremlin turut mendedahkan bahawa Trump dan Putin ada berbincang mengenai Syria dan bersetuju bahawa hubungan semasa Russia-AS adalah "amat tidak memuaskan".

Mereka turut menyentuh hakikat bahawa tahun 2017 menandakan 210 tahun sejak hubungan diplomatik antara dua negara itu terjalin dan tiba masa untuk merangsang kembali kerjasama yang pragmatik dan saling menguntungkan.

Menurut Kremlin, Putin dan Trump bersetuju untuk terus berhubung melalui telefon dan merancang untuk bertemu secara peribadi sedikit masa lagi. - Agensi

151 dibaca
Berita Harian X