Selasa, 15 November 2016 | 12:44pm

Rumah pertama menerusi OIB dan BSN

LAMAN sesawang OIB di http://oibgroup.com/projects/central-region/bangi/seroja-hills

KUALA LUMPUR: Oriental Interest Bhd (OIB) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) sebentar tadi mengumumkan kolaborasi bagi menjadikan pemilikan hartanah lebih mampu dimiliki bagi pembeli rumah pertama.

Kerjasama itu, yang juga bersempena dengan pelancaran Kondominium Seroja Hills Fasa 2 yang dibina OlB, menampilkan Skim Belia BSN bermatlamat membantu pasangan berumah tangga berusia 25 hingga 40 tahun dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM10,000 memiliki kediaman.

Ketua Pegawai Operasi Bahagian Pemasaran OIB, Beh Suan Sim berkata Skim Belia BSN yang menyediakan pinjaman perumahan sehingga setengah juta ringgit menepati kriteria kondominium 19 tingkat yang terletak di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang itu.

Beliau berkata, dengan kepadatan rendah 256 unit, Fasa 2 Seroja Hills menawarkan keluasan binaan sebesar 1,096 kaki persegi (3 bilik tidur, 2 bilik air) yang ditawarkan pada harga mampu milik bermula daripada RM320,000.

"Direka untuk kehidupan moden dan dilengkapi kemudahan kolam renang, padang futsal, dewan yoga dan gimnasium, dewan serba guna, perpustakaan, taman permainan kanak-kanak dan kawalan keselamatan 24 jam, Seroja Hills adalah pilihan l sesuai bagi pasangan muda untuk memulakan kehidupan baru," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman kerjasama itu di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Eksekutif Perbankan Runcit BSN, Frederick Siew berkata usahasama itu juga sejajar inisiatif kerajaan untuk meningkatkan daya mampu milk pembeli rumah pertama, sebagaimana dibentangkan dalam Bajet 2017 baru-baru ini.

Berita Harian X