Selasa, 15 November 2016 | 1:30pm

Pelaksanaan B10 dan B7 ditangguhkan - Siew Keong

MENTERI Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Pelaksanaan mandat biodiesel bagi program campuran 10 peratus biodiesel (B10) dalam sektor pengangkutan dan program campuran tujuh peratus biodiesel (B7) dalam sektor industri ditangguhkan.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata keputusan itu dibuat selepas kajian menyeluruh dilakukan dengan mengambil kira perbezaan antara harga minyak sawit mentah (MSM) dan diesel di pasaran semasa yang tidak menentu.

"Kami memutuskan untuk menangguhkannya (pelaksanaan B10 dan B7) sehingga masa yang sesuai apabila jurang harga antara minyak mentah dan minyak sawit tidak terlalu besar," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Semarak Integriti peringkat kementeriannya, di sini hari ini.

Siew Keong menjelaskan, keputusan itu dibuat kerana kerajaan komited untuk memastikan tidak ada beban kos kepada rakyat akibat harga bahan api yang tidak menentu itu.

Katanya, kerajaan turut bersetuju merangka pendekatan mengukuhkan pelaksanaan Program Biodiesel dengan meningkatkan campuran bagi sektor pengangkutan kepada B10 dan B7 untuk sektor perindustrian pada Disember ini.

B10 ialah campuran 10 peratus biodiesel sawit dengan 90 peratus petroleum diesel manakala B7 membabitkan campuran tujuh peratus biodiesel sawit dengan 93 peratus diesel petroleum.

Berita Harian X