Selasa, 15 November 2016 | 4:43pm

TLDM meterai kontrak sewaan kapal hidrografi

PELABUHAN KLANG: Dua kapal hidrografi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Mutiara dan KD Perantau tidak lagi efektif untuk dioperasikan dan akan dilucutkan tauliah secara berperingkat.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, berkata tugas pemetaan data batimetri bagi kawasan perairan negara akan dilakukan oleh sebuah kapal hidrografi moden, MV Aishah AIM 4, yang diperoleh menerusi kontrak sewaan dari syarikat Breitlink Engineering Services Sdn Bhd (BESSB).


PANGLIMA TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (kanan) melawat kapalhidrografi moden, MV Aishah AIM 4 di Pusat Hidrografi Nasional, Pelabuhan Klang. - Foto Rosdan Wahid

"KD Mutiara yang digunakan sejak 1977 tidak sesuai digunakan kerana kerajaan terpaksa menanggung kos operasi dan penyelenggaraan yang tinggi, berbanding pulangan yang mampu diberikan kepada negara.

"Begitu juga dengan KD Perantau yang diperoleh pada 1998 dan kini berdepan dengan cabaran untuk melaksanakan tugas. KD Mutiara akan dilucutkan tauliah dalam tempoh terdekat, manakala penggunaan KD Perantau akan diputuskan kemudian nanti. Ia adalah antara Program Transformasi 15-kepada-5 Armada TLDM yang sedang dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara TLDM dengan BESSB hari ini. MoU ditandatangani oleh Ketua Pengarah Hidrografi, Laksamana Muda Datuk Zaaim Hasan dan Pengerusi BESSB, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat.

Ditanya mengenai manfaat kontrak sewaan itu, Ahmad Kamarulzaman berkata, MV Aishah AIM 4 hanya memerlukan 24 pegawai dan anggota untuk mengendalikannya, berbanding 120 orang yang diperlukan KD Mutiara.

"MV Aishah AIM 4 mampu melakukan tugas pengukuran sehingga 18,000 kilometer persegi dalam tempoh setahun. Malah, kapal baharu ini dapat beroperasi selama 300 hari setahun, jauh berbeza dengan kapal TLDM yang hanya boleh beroperasi 100 hari untuk tempoh yang sama.

"Jadi, kita dapat lihat nilai penjimatan berganda yang diperoleh. Pengukuran hidrografi sangat penting kerana membabitkan perkara teknikal persempadanan zon maritim negara, kajian saintifik marin, kajian hidraulik, pembangunan pesisir pantai dan pelancongan," katanya.

Berita Harian X