Selasa, 15 November 2016 | 7:03pm

Hiba ambil ijazah adik

MOHD Khairuddin Wan Ismail, abang kepada Wan khairul Azim Wan Ismail, menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) daripada Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib, pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Durian Tunggal. - Foto Nur Shafinaz Sari

DURIAN TUNGGAL: Majlis graduasi yang sepatutnya dirai dalam suasana gembira bertukar hiba buat seorang lelaki apabila tidak dapat menahan sebak ketika mengambil ijazah tanpa kehadiran adiknya.

Wan Mohd Khairuddin Wan Ismail, 28, mengambil ijazah itu pada majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-12, di sini, hari ini, mewakili adiknya, Wan Khairul Azim Wan Ismail, 25 yang meninggal dunia akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya bulan lalu, selepas menamatkan pengajian. Allahyarham Wan Khairul Azim menerima Ijazah Sarjana Muda Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (Automotif).

Wan Mohd Khairuddin berkata, selepas tamat pengajian, arwah adiknya itu mendapat pekerjaan sebagai penyelia jurutera di sebuah syarikat swasta di Kelantan, malah pernah menyatakan hasrat untuk bekerja di negeri kelahirannya kerana ingin menjaga ibu dan bapanya.

"Arwah terbabit kemalangan pada 21 Oktober lalu selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas, sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan disahkan meninggal dunia pada 29 Oktober lalu.

"Kami sekelurga berterima kasih kepada UTeM kerana menyampaikan anugerah ini, yang pasti akan menjadi kenangan buat selama-lamanya," katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah itu daripada Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib.

Seramai 606 mahasiswa bergraduasi pada hari kedua majlis konvokesyen yang diadakan di Dewan Besar UTeM, di sini.

Sementara itu, UTeM turut julung kali menyampaikan Anugerah Khas Aegrotat kepada seorang graduan lelaki peringkat Sarjana Muda Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), yang diserang penyakit angin ahmar sejak lima tahun lalu.

Nazri Mohd Noor, 28, dari Batu Pahat, Johor berkata, beliau diserang penyakit itu pada tahun 2011 ketika semester akhir pengajian dan mengambil keputusan untuk melanjutkan lagi tempoh pengajian.

"Selepas diserang angin ahmar, saya sangka penyakit ini mampu sembuh, tetapi ia berlaku sebaliknya.

"Saya akhirnya memohon graduasi melalui Aegrotat walaupun hanya mampu menghabiskan 75 peratus dalam pengajian," katanya yang ditemani ibu dan bapanya, Rosmah Mohd Pendek, 54 dan Mohd Nor Karno, 56.

Berita Harian X