Selasa, 15 November 2016 | 9:47pm

FAM sasar layak separuh akhir Piala AFF 2016

KAPTEN Pasukan Harimau Malaysia, Mohd Amri Yahyah (tiga dari kanan) ketika menerima bendera Jalur Gemilang daripada wakil exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada majlis memperkenalkan 22 pemain Harimau Malaysia, yang akan membawa cabaran negara pada perlawanan Piala AFF Suzuki 2017, hari ini. Turut hadir Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin (kiri), Ketua Jurulatih Pasukan Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee (kanan) dan penolong kapten pasukan Baddrol Bakhtiar (dua, kanan).- Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil jalan selamat dengan hanya meletakkan sasaran mara ke separuh akhir pada kejohanan Piala AFF 2016 di Yangon, Myanmar, bermula Ahad ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, menegaskan pasukan kebangsaan perlu fokus menghadapi saingan tiga pasukan lain dalam Kumpulan B iaitu juara pusingan kelayakan Kemboja, Vietnam dan tuan rumah Myanmar, sebelum mengintai slot final buat kali keempat.

Sebagai rekod, Malaysia mara ke final sebanyak tiga kali iaitu pada 1996, 2010 dan 2014, namun hanya muncul juara pada 2010 menerusi kemenangan agregat 4-2 ke atas Indonesia.

"Memang sebelum ini, kita pernah meletakkan sasaran ke final tetapi kita harus fokus terlebih dahulu untuk melepasi peringkat kumpulan bermula dengan aksi pembukaan menentang Kemboja, Ahad ini," kata Hamidin, yang juga pengurus skuad kebangsaan, pada sidang media pengumuman 23 pemain ke kejohanan itu, di sini, hari ini.

Turut senada dengan beliau adalah Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, yang berpandangan barisan pemain harus memikirkan cabaran yang menanti mereka di peringkat kumpulan terlebih dahulu.

"Setelah kita layak ke separuh akhir, sudah tentu kita mahu menang dan seterusnya memikirkan kejuaraan jika mara ke final.

"Bagi saya, tidak guna berbicara slot ke final jika kita bergelut di peringkat kumpulan," katanya.

Kim Swee menjelaskan, beliau masih mempunyai tempoh beberapa hari lagi sebelum menyenaraikan kesebelasan terbaik apabila berdepan Kemboja nanti, terutamanya di bahagian serangan dan tengah.

Mengambil contoh Norshahrul Idlan Talaha, Mohd Safee Sali dan Ahmad Hazwan Bakri, Kim Swee berkata, ketiga-tiga pemain berkenaan boleh beraksi di posisi penyerang serta sayap.

"Kehadiran pemain ini memberi banyak pilihan kepada saya. Saya boleh mempelbagaikan pilihan apabila menentang Kemboja," katanya yang sudah dua tahun mengendalikan skuad kebangsaan. - BERNAMA

Berita Harian X