Rabu, 16 November 2016 | 10:07am

Agong berangkat ke istiadat perbarisan menjunjung kasih

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (tengah) ketika di istiadat perbarisan menjunjung kasih di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi. - Foto Ihsan MINDEF

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.

Istiadat perbarisan itu diadakan sebagai penghargaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Tuanku Abdul Halim yang juga Pemerintah Tertinggi ATM dan Tuanku Hajah Haminah atas tamat tempoh rasmi perkhidmatan baginda berdua sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke-14 pada 12 Disember ini.

Keberangkatan tiba pasangan diraja itu di Dataran Panglima Tentera Darat pada jam 8.30 pagi disambut dengan 'Hormat Diraja' oleh peserta perbarisan dan disusuli dengan lagu Negaraku.

Tuanku Abdul Halim yang akan tamat tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 12 Disember ini akan digantikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Baginda telah mencatat sejarah setelah ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua pada 2012. - BERNAMA

Berita Harian X