Rabu, 16 November 2016 | 12:27pm

ANGKASA tempat ketiga Cabaran Satelit Navigasi GNSS.asia 2016

KUALA LUMPUR: Inovasi ciptaan penyelidik Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) iaitu agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjaya mendapat tempat ketiga pada Pertandingan GNSS.asia Challenge 2016 yang berlangsung di Manila, semalam.

ANGKASA memenangi tempat ketiga menerusi produk penyelidikan "ATTracT (Autism Trigger, Tracking and Trace)" atau dikenali sebagai MOSTI Track hasil ciptaan Ooi Wei Han dan Shahrizal Ide Moslin pada pertandingan bertemakan "Providing the Solutions using Multi-GNSS and Other Space Applications in the Asia Pacific Region" itu.

Ketua Unit Komunikasi Korporat ANGKASA, Wan Hakimah Abdul Rahim berkata, MOSTI Track Autism adalah sistem yang dibangunkan di bawah MOSTI Social Innovation (MSI) menggunakan teknologi navigasi satelit dan diintegrasikan dengan teknologi komunikasi mudah alih

"Dengan menggunakan sistem ini kanak-kanak autisme dipakaikan alat pengesanan satelit navigasi GPS berbentuk jam tangan yang membolehkan ibu bapa mengesan lokasi kedudukan anak mereka pada setiap masa hanya melalui aplikasi pada telefon pintar .

"Menerusi aplikasi ini, ibu bapa boleh menentukan zon kawasan maya serta tempoh waktu untuk aktiviti harian tertentu bagi kanak-kanak autisme. "

Satu notifikasi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) akan dihantar kepada ibu bapa sekiranya kanak-kanak itu tidak berada di dalam zon kawasan maya yang ditetapkan.

"Penciptaan alat ini dapat mengurangkan risiko berlakunya kemalangan terhadap kanak-kanak autisme selain tekanan dan kerisauan ibu bapa," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Produk penyelidikan itu turut menerima anugerah khas BELS pada pertandingan anjuran Suruhanjaya Eropah (European Commission - EC), Agensi Angkasa Eropah, dan Agensi Navigasi Global, Sistem Satelit Eropah pada 25 Oktober tahun lalu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X