Rabu, 16 November 2016 | 3:49pm

Lori baja sawit rempuh jambatan


LORI membawa muatan baja hilang kawalan merempuh jambatan Sungai Arang.

MARUDI: Sebuah lori yang sarat muatan baja kelapa sawit hilang kawalan merempuh jambatan Sungai Arang, dekat sini, menyebabkan pemandu lori dan kelindannya cedera pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7 pagi, pemandu lori berusia 21 dan kelindannya 25 tahun, cedera di kaki dan tersepit lebih sepuluh minit dalam kenderaan berat itu.

Kedua-duanya berjaya dikeluarkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri yang menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

Jurucakap jabatan itu berkata, mangsa dihantar ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan dan keadaan pemandu dan kelindan lori itu stabil.

"Kemalangan itu menyebabkan kesesakan seketika di jalan berkenaan yang menjadi akses penduduk Baram ke Marudi," katanya di sini, sebentar tadi.

Jalan Marudi-Miri adalah antara jalan yang dibina menerusi Projek Jiwa Murni Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan agak licin ketika hujan.

Berita Harian X