Rabu, 16 November 2016 | 3:57pm

MPC wujudkan Manual Perlesenan Perniagaan

ALOR SETAR: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mewujudkan Manual Perlesenan Perniagaan di setiap negeri untuk menjadikan asas rujukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam mengendalikan permohonan lesen perniagaan masing-masing.

Pengarah MPC, Dr Daud Talib, berkata ia diwujudkan dengan matlamat supaya jurang perbezaan amalan sedia ada PBT seperti tempoh masa kelulusan, proses kerja, keperluan dokumen sokongan dan barang digunapakai dapat diperkemaskan, diseragamkan dan diintergrasikan dalam Malaysia Biz Portal.

Beliau berkata, kebanyakan PBT hanya menerima Manual Perlesenan Perniagaan ini tetapi mereka belum melaksanakannya secara menyeluruh dan setakat ini hanya PBT di Pahang sudah menggunakannya.

"Dalam program hari ini kita menjemput PBT dari empat negeri Wilayah Utara iaitu Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak untuk hadir dalam perbincangan Amalan Terbaik Permodenan.

"Antara yang kita tumpukan adalah bagaimana pemohon lesen boleh mendapatkan lesen secara serta-merta secara manual dalam tempoh satu hari.

"MPC cuba menambah baik kaedah ini supaya semua peniaga boleh memperoleh lesen segera tanpa perlu menunggu masa yang lama," katanya ketika ditemui pada Majlis Sesi Amalan Baik Permodenan Lesen Perniagaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Wilayah Utara di Hotel Grand Alora, sebentar tadi.

Berita Harian X