Rabu, 16 November 2016 | 4:45pm

UMT disenarai dalam rangkaian CTI-CFF

NAIB Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar (kiri) bersama Sekretariat Serantau CTI-CFF Pofesor Ir Dr Widi Agoes Praktiko, menanda tangan dokumen di Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman CTI-CFF. - Foto Nazdy Harun

KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tersenarai dalam rangkaian The Coral Triangle Initiative on Coral Reefs, Fisheries and Food Security (CTI-CFF) apabila termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) bersama sekretariat CTI-CFF, di sini, hari ini.

Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, MoU itu bakal memberi manfaat kepada seluruh warga UMT dan universiti di Malaysia terutama menyatukan kepentingan Stesen Penyelidikan Marin Pulau Bidong yang dimiliki UMT dengan Pulau Bunaken yang terletak di Teluk Manado, utara Pulau Sulawesi.

"MoU antara UMT dan CTI-CFF membolehkan UMT berada dalam rangkaian CTI-CFF yang menghubungkan sesama ahli lain seperti Jabatan Alam Sekitar Negara Australia, Conservation International, World Wide Fund for Nature dan Coral Triangle Center seterusnya mengukuhkan hubungan antara enam negara yang terbabit iaitu Malaysia, Filipina, Indonesia, Kepulauan Solomon, Papua New Guinea, dan Timor-Leste.

"CTI-CFF yang dikendalikan Sekretariat Serantau CTI-CFF di bawah Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia adalah satu kerjasama pelbagai hala yang dibentuk pada tahun 2009 oleh enam negara Coral Triangle (Malaysia, Filipina, Indonesia, Kepulauan Solomon, Papua New Guinea, dan Timor-Leste) dengan memfokuskan permasalahan dan ancaman terhadap lingkungan terumbu karang (Coral Triangle)," katanya.

Nor Aieni berkata, matlamat yang ingin dicapai UMT adalah berkaitan pengurusan perairan laut yang berkesan.

"Aplikasi pendekatan ekosistem terhadap pengurusan perikanan dan menambahbaik status hidupan marin yang terancam amat penting.

"Jadi, UMT sebagai universiti awam yang mempunyai kekuatan kepakaran dalam bidang niche Ilmu Kelautan dan Sumber Akuatik melengkapkan lagi bidang Kelestarian Perikanan bersama enam negara ahli CTI-CFF lain.

"Malah, kami yakin MoU ini dapat membentuk pembangunan keupayaan dalam kerjasama penyelidikan dan program berkaitan yang bakal memanfaatkan penduduk serantau," katanya.

Berita Harian X