Rabu, 16 November 2016 | 6:00pm

Ramli MS tempelak kelompok fanatik artis


JURI tetap Gegarvaganza musim ketiga (GV3), Datuk Ramli MS. - Foto Muhammad Sulaiman

KUALA LUMPUR: Juri tetap Gegarvaganza musim ketiga (GV3), Datuk Ramli MS menempelak kelompok peminat fanatik selebriti supaya jangan berterusan menghuru-harakan kehidupan sendiri disebabkan isu artis.

Katanya, kepada individu yang gemar memaki hamun dan mengata, secara sinis beliau menasihatkan mereka supaya belajar menghormati diri sendiri dahulu.

"Pada yang nak hamun, mengata, sila hormat diri sendiri. Kau masuk rumah orang sesuka hati, tetapi 'private' rumah kau. Jangan huru-harakan kehidupan kau.

"Tiada guna saya menyekat anda kerana tidak mustahil anda buka akaun palsu lain. Adik, sudah-sudahlah menipu diri sendiri. Cepat atau lambat kau kena hadapi kenyataan dalam bentuk positif," katanya dalam status Instagram, semalam.

Maestro muzik yang selama ini enggan melayan komen negatif netizen sebaik saja Elly yang juga peserta program nyanyian GV3 menarik diri gara-gara tersinggung dengan ulasannya dilihat meluahkan perasaan menerusi status berkenaan.

Terdahulu, nama Ramli hangat diperkatakan di laman sosial kerana kononnya beliau menjadi punca penyanyi itu enggan lagi terbabit dalam GV3 hingga 'diserang' secara maya.

Rata-rata peminat Elly menganggap komen juri tetap itu sebagai tidak profesional dan memadamkan semangat peserta kegemaran mereka untuk meneruskan perjuangan.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, beliau sekali lagi mengingatkan golongan fanatik artis supaya jangan melebih-lebih mengikut emosi.

Berita Harian X