Khamis, 17 November 2016 | 12:02am
PENYOKONG Trump meraikan kemenangan beliau selepas diumumkan sebagai Presiden AS ke 45.

Trump bangga susur galur Jerman


DONALD Trump berucap selepas diumumkan memenangi pihanraya pemilihan Presiden AS.

DEBARAN menunggu siapa dipilih ke Rumah Putih sekali gus menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-45 terjawab apabila Donald Trump, daripada Republikan, memenangi pemilihan itu mengalahkan calon pilihan Demokrat, Hillary Clinton, Rabu lalu.

Kemenangan Trump, 70, dianggap kejutan terbesar buat rakyat AS khususnya dan dunia amnya, meskipun keceluparan jutawan hartanah itu sepanjang kempen Presiden AS 2016 sering dikecam sehingga sebahagian besar rakyat AS naik meluat dengan kerenahnya.

Siapa Trump yang sebenar? Ramai maklum beliau langsung tiada latar belakang sebagai ahli politik, malah lebih dikenali sebagai selebriti rancangan realiti televisyen, The Apprentice, selain dirinya bergelar jutawan hartanah terkenal di Bandar Raya New York.

Trump dilahirkan pada 14 Jun 1946 di Jamaica Estates, Queens berhampiran New York, adalah anak keempat daripada lima beradik yang berasal dari Jerman di sebelah bapa manakala Scotland di sebelah ibu.

Bapanya, Frederick Christ Trump (1905-1999) lahir di Queens daripada ibu bapa berasal dari Kallstadt, Jerman dan menjadi seorang pembangun hartanah terbesar di Bandar Raya New York. Ibunya, Mary Anne MacLeod (1912-2000), lahir di Tong, Lewis, Scotland dan keduanya bertemu di ibu kota itu dan berkahwin pada 1936, menetap di Queens.

Daripada empat adik beradiknya, tiga masih hidup, Maryanne, Elizabeth dan Robert. Abang lelaki sulung Trump, Fred Jr, meninggal dunia pada 1981 akibat ketagih alkohol pada usia 43 tahun, menyebabkan beliau mengelak minum alkohol atau merokok.


DONALD Trump (kiri) bersama abangnya, Fred Jr, adik, Robert, kakak Maryanna dan Elizabeth.

Trump, nama nenek moyang keluarga dari Jerman itu, ditukar kepada Trump ketika Perang Tiga Puluh Tahun pada kurun ke-17. Trump pernah berkata, beliau amat bangga dengan warisan Jerman nenek moyangnya dan pernah berkhidmat sebagai marsyal agung dalam Perarakan Steuben Jerman-Amerika 1999 di New York.

Berikutan masalah disiplin, Trump meninggalkan sekolah pada usia 13 tahun dan dimasukkan ke Akademi Tentera New York (NYMA). Pada 2015, beliau memaklumkan seorang penulis biografi, NYMA memberinya "lebih banyak latihan dalam ketenteraan berbanding individu yang memasuki tentera."

Trump memasuki Universiti Fordham di Bronx, selama dua tahun bermula Ogos 1964, namun kemudian berpindah ke Sekolah Kewangan dan Perdagangan Wharton di Universiti Pennsylvania, yang menawarkan satu daripada beberapa pengajian hartanah di AS.

Ketika masih menuntut, beliau bekerja dengan syarikat keluarga, Elizabeth Trump & Son, sempena nama neneknya. Trump tamat pengajian di Wharton pada Mei 1968 dengan Ijazah Sains dan Ekonomi.

Sejak remaja, Trump memiliki kekayaan diwarisi daripada bapanya dan dikatakan berkerja di peringkat bawahan di syarikat ayahnya itu.

Sejurus tamat pengajian di Universiti Pennsylvania, Trump disebut menggantikan bapanya berbanding abangnya Frederick Jr yang lebih meminati bidang penerbangan.

Langkah pertama diambil hartawan itu untuk meluaskan empayar hartanahnya ialah membuat pinjaman 'kecil' sebanyak AS$1 juta (RM4.25 juta) daripada ayahnya bagi melaksanakan projek di New York dan kemudian mengawal sepenuhnya syarikat itu, menamakannya Trump Organization pada 1971.

Trump dipetik berkata: "Bapa saya adalah inspirasi saya" ketika itu menggandakan usaha memindahkan perniagaan keluarga daripada unit kediaman di Brooklyn dan Queens kepada projek Manhattan, serta mengubah Commodore Hotel usang kepada Grand Hyatt yang terkenal hingga ke hari ini.

Selepas itu, beliau membina Trump Tower yang mempunyai ketinggian 68 tingkat di Fifth Avenue diikuti bangunan lain seperti Trump Place, World Tower Trump, Trump International Hotel dan Tower, dan sebagainya. Trump Tower juga dibina di Mumbai, Istanbul dan Filipina.

Langkah panjang diambil Trump dengan mempelbagaikan cabang perniagaannya dengan penubuhan hotel, kasino, empayar hiburan seperti Miss Universe, Miss USA dan Miss Teen

USA serta rancangan realiti TV, The Apprentice.

Tidak lengkap jika kejayaan dikecapi hartawan itu tanpa pendorong. Trump pernah berkahwin sebanyak tiga kali dan isteri pertamanya ialah Ivana Zelnickova (Ivana Trump), seorang atlit dari Republik Czechoslovakia dan juga model.

Pasangan itu mempunyai tiga anak iaitu Donald Jr, Ivanka dan Eric. Mereka bagaimanapun memfailkan perceraian pada tahun 1990 apabila Trump didakwa menjalin hubungan dengan Marla Maples.

Perkahwinan keduanya pada 1993 dikurniakan seorang anak perempuan, Tiffany, namun berpisah pada 1999. Perkahwinan ketiga Trump dengan model Melania Knauss pada 2005 yang masih bertahan sehingga ke hari ini, dikurniakan seorang anak lelaki, Barron William Trump, 10.

Trump yang tidak mempunyai sebarang pengalaman sebagai ahli politik menceburi bidang politik semata-mata bertanding sebagai presiden AS pada 1987 dan beliau pernah bertanding pada tahun 2000 sebagai calon Parti Reformasi.

Pada tahun 2015, Trump mencuba nasib bertanding ke Rumah Putih dengan pencabar terdekat, bekas Setiausaha Negara AS, Clinton, yang juga memasang impian menjadi presiden wanita pertama AS.

Walaupun bantahan besar-besaran dalam acara kempen pencabarnya supaya Trump dihalang ke Rumah Putih, selain kontroversi gangguan seksual terbaru ke atasnya, rakyat AS nampaknya berminat terhadap ikrar mengusir pendatang asing seperti dijanjikan berbanding Clinton, dilihat kurang tegas menangani isu pengganas.

Trump, mungkin mencatat sejarah sebagai Presiden AS paling kaya dalam sejarah negara itu kerana memiliki anggaran kekayaan AS$3.7 bilion (RM15.89 bilion) menurut Forbes tahun ini manakala Bloomberg memberi angka AS$3 bilion (RM12.89 bilion). Forbes juga menyenaraikannya sebagai individu ke-156 terkaya di AS dan 324 di dunia.

Trump bakal mengangkat sumpah secara rasmi sebagai Presiden AS ke-45 pada 20 Januari 2017.


TELATAH Trump dan Hillary ketika berkempen untuk ke Rumah Putih.

Info

Presiden AS ke-45, Donald Trump

14 Jun 1946- dilahirkan di Queens, New York

1964- Menuntut selama dua tahun di Universiti Fordham di Bronx

1968- Jurusan hartanah dan kewangan di Universiti Pennsylvania

1977- Berkahwin kali pertama dengan Ivana Zelnickova

1983- Membina Menara pertama Trump Tower

1987- Menyertai parti Demokrat

1987-1999- Menyertai parti Republikan

1991-Jatuh Muflis

1999-Menyertai parti Reformasi

2001-2009-Menyertai parti Demokrat sekali lagi

2004-2015-Hos rancangan The Apprentice

2012-Menyertai parti Republikan

2015- Calon Presiden Republikan AS

2016- Menang pilihan raya

2017- Mengangkat sumpah secara rasmi sebagai Presiden AS ke 45 pada 20 Januari

Dasar kontroversi Trump

*Mencadangkan pembinaan dinding di sepanjang sempadan Mexico dan AS untuk mengekang pendatang asing.

*Menghantar pulang lebih 11 juta warga Mexico yang masuk secara haram di AS.

*Mengharamkan Muslim memasuki AS.

*Membekukan pengambilan pekerja di semua pekerja persekutuan dengan mengecualikan tentera, keselamatan awam dan kesihatan

awam.

*Menarik balik penyertaan Amerika Syarikat ke atas Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

*Membatalkan pembayaran berbilion-bilion dolar ke atas pembayaran program perubahan iklim PBB dan menggunakan wang itu

bagi tujuan ketetapan air dan infrastruktur alam sekitar.

*Menghalau lebih 2 juta pendatang haram yang melakukan jenayah di AS dan membatalkan visa ke negara asing yang tidak mengambil mereka semula.

Berita Harian X