Khamis, 17 November 2016 | 12:39pm

ATM fleksibel laksana Pelan Pembangunan Strategik

ZUKIFELI pada majlis Perbarisan Penghargaan Panglima ATM di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di Port Dickson, hari ini. - Foto Adzlan Sidek

PORT DICKSON: Kekangan kewangan menyebabkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa mengkaji Pelan Pembangunan Strategik ATM dari semasa ke semasa.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata ATM menyedari bahawa status sebagai negara yang pesat membangun menyebabkan kerajaan mempunyai banyak keutamaan dalam pengagihan peruntukan kewangan setiap tahun.

Katanya, keutamaan terhadap bidang pembangunan lain seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan menyebabkan ATM perlu fleksibel dalam pelaksanaan Pelan Pembangunan Strategik.

"Kita perlu mengkaji aspek yang perlu diberi keutamaan, selain tidak melaksanakan sesuatu dengan sekali gus, tetapi secara berperingkat.

"Jika sesuatu yang dirancang memang perlu diutamakan dan tidak membabitkan kos besar serta mampu dilaksanakan, kita akan buat," katanya pada sidang media selepas majlis Perbarisan Penghargaan Panglima ATM di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, hari ini.

Beliau yang berkhidmat selama 44 tahun dalam ATM, termasuk menjadi Panglima ATM sejak Jun 2011 akan bersara pada 16 Disember ini.

Yang turut hadir, Penglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Zulkifeli berkata, kekangan kewangan juga menyebabkan keutamaan perlu diberikan terhadap usaha memajukan industri pertahanan tempatan.

Katanya, penggunaan sistem atau teknologi yang dimajukan sendiri walaupun pada peringkat awal membabitkan kos yang tinggi, tetapi lebih menguntungkan dalam jangka panjang.

Berita Harian X