Khamis, 17 November 2016 | 3:31pm

255 individu terbabit Daesh ditahan sejak 2013

KUALA LUMPUR: Seramai 255 individu termasuk 34 perempuan yang terbabit gerakan Daesh ditahan pihak berkuasa dari tahun 2013 hingga 7 Oktober lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata daripada jumlah itu, seramai 140 orang adalah mereka yang berusia bawah 30 tahun manakala selebihnya, 115 berumur lebih 30 tahun.

Katanya, seramai 121 orang sudah diambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

"Seramai 36 orang lagi dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan 13 orang mengikut Akta Pencegahan Keganasan 2015.

"Seramai 21 orang yang juga adalah warga asing sudah diusir keluar dari negara dan selebihnya, 64 orang sudah dibebaskan," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, hari ini.

Ahmad Zahid menjawab soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) yang meminta penjelasan mengenai warga negara yang terbabit dalam gerakan Daesh dalam dan luar negara mengikut pecahan jantina, umur, tangkapan, dibebaskan dan dihukum oleh negara atau negara luar.

Berita Harian X