Khamis, 17 November 2016 | 3:32pm

Penduduk Selangor akan tanggung tarif air RM1,200 setahun

KETUA Penerangan Umno Selangor Datuk Zein Isma Ismail dan Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Datuk Armand Azha Abu Hanifah di Sidang Media pengambilalihan Splash di Bangunan Umno Selangor. - Foto Roslin Mat Tahir

SHAH ALAM: Penduduk Selangor akan menanggung kenaikan tarif air kira-kira RM1,200 setahun, jika kerajaan negeri bersetuju membayar kos pengambilalihan RM2.7 bilion kepada Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH).

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail, berkata terdapat lebihan nilai sebanyak RM2.4 bilion berbanding tawaran asal, sekali gus menimbulkan kemungkinan kos pembayaran kepada syarikat konsesi air itu akan ditanggung oleh penduduk negeri ini.

"Seramai 2.4 pengundi Selangor mungkin terpaksa menanggung kenaikan tarif air. Sebelum ini pun, sudah ada ura-ura kenaikan tarif air, namun kerajaan negeri nafikan," katanya.

BH hari ini melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didesak mendedahkan formula yang digunakan dalam penawaran pembayaran RM2.7 bilion kepada SPLASH.

EXCO Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan, berkata sehingga kini rakyat, terutama penduduk Selangor tidak tahu bagaimana perkiraan dilakukan sehingga kerajaan negeri pimpinan PKR mencapai jumlah sebesar itu.

Berita Harian X