Khamis, 17 November 2016 | 9:57pm

Perancis ketatkan sekatan, elak jangkitan selesema burung

PARIS: Perancis, pengeluar ternakan terbesar Eropah, melaksanakan langkah berjaga-jaga tambahan di ladang dan mengehadkan pemburuan serta pengumpulan haiwan itu, hari ini bagi mengekang jangkitan selesema burung.

Ia susulan beberapa kes selesema burung dilaporkan di negara jiran sejak beberapa minggu lalu.

Tiada kes avian influenza H5N8 atau selesema burung dikesan di Perancis setakat ini, namun virus itu dikesan di lapan negara Eropah, termasuk Switzerland dan Jerman, membabitkan burung liar dan ternakan di ladang.

"Sejak kes terbaru di negara jiran Eropah terutama menjangkiti burung hijrah, kementerian menaikkan paras risiko di kawasan tanah lembap yang mengumpulkan hidupan liar dan boleh menjadi hentian dalam perjalanan burung hijrah," kata Kementerian Ladang dalam satu kenyataan.

Kementerian itu menyebut, penternak yang berada dalam zon berisiko tinggi juga perlu memastikan ternakan dikurung atau membuat jaring keselamatan menghalang sentuhan dengan burung liar. - REUTERS

Berita Harian X