Jumaat, 18 November 2016 | 3:36pm

Fizikal BoBoiBoy berubah dalam musim baharu

KETUA Pegawai Eksekutif Animonsta, Mohd Nizam Abdul Razak bersama karektor BoboiBoy pada majlis pratonton BoboiBoy Galaxy di Pavilion. - Foto Mahzir Mat Isa
KETUA Pegawai Eksekutif Animonsta, Mohd Nizam Abdul Razak bersama karektor BoboiBoy pada majlis pratonton BoboiBoy Galaxy di Pavilion. - Foto Mahzir Mat Isa

KUALA LUMPUR: Selepas lima tahun menemui penonton, karakter animasi popular, BoBoiBoy mengalami perubahan apabila ia menemui penonton menerusi musim baharu.

Berbanding penampilannya sebelum ini, watak adiwira popular berkenaan digambarkan lebih besar dalam musim terkini yang bakal ditayangkan menerusi TV3 mulai 25 November nanti.

Menurut Pegawai Eksekutif Animonsta, Mohd Nizam Abdul Razak, perubahan itu dilakukan atas permintaan pasaran semasa.

"Ketika siri ini dijual ke negara luar, pihak kami meyakinkan mereka usia BoBoiBoy adalah sekitar 10 tahun. Begitupun, pihak di luar sana menganggap saiz watak itu dulu seperti kanak-kanak berusia tujuh tahun.

"Begitupun, bagi musim terbaharu yang dikenali sebagai BoBoiBoy Galaxy ini, hanya fizikalnya yang sedikit berubah manakala usianya tidak jauh berbeza.

"Jalan ceritanya juga bukanlah bertukar menjadi kisah cinta atau bermain dengan emosi. Sebaliknya, ia masih dengan plot seperti dulu, cuma penuh dengan pelbagai cabaran sepanjang pengembaraan mereka," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan musim baharu siri animasi terbabit di sini, baru-baru ini.

Dedah Nizam, kali ini BoBoiBoy akan mengembara dari planet ke sebuah planet lain untuk mencari Power Sphera seperti Ochobot. Dia akan ditemani beberapa karakter seperti Gopal, Yaya, Fang dan Ying untuk menyelamatkan galaksi daripada ancaman kuasa jahat.

"Ia juga masih sarat dengan pelbagai nilai hidup yang boleh dicontohi," katanya mengenai siri animasi yang pernah diangkat ke versi layar lebar, tahun ini.

Tambah Nizam lagi, pihak Animonsta juga mula mendapat permintaan daripada negara luar yang mahu menyiarkan siri terbaharu itu di negara mereka, seperti sebelum ini.

Gembira dengan perkembangan jenama keluaran mereka itu yang semakin diminati pada peringkat global, Animonsta juga katanya tidak teragak-agak untuk meneruskan kerjasama bersama TV3 dan TV9 sekiranya ada produk yang dikira bersesuaian.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Sherina Nordin, berkata BoBoiBoy menjadi penanda aras penerbitan animasi tempatan juga wajar dipuji serta dibanggakan.

"BoBoiboy mencipta fenomena tersendiri di negara kita dan juga luar negara. Malah, ia juga menepati piawaian animasi antarabangsa dari segi kualiti. Pihak kami sendiri teruja untuk terus menjalinkan kerjasama dengan Animonsta pada masa hadapan," katanya.

Berita Harian X