Sabtu, 19 November 2016 | 12:04am
(DARI kiri) Beto Kusyairy, Tiz Zaqyah, Maya Karin dan Namron pada Anugerah Skrin 2016 (ASK 2016), yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, malam ini. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Fatin dinobat Drama Terbaik Anugerah Skrin 2016

PUTRAJAYA: Karya terbitan Balang Rimbun Sdn Bhd, Fatin, dinobatkan Drama Terbaik, manakala sutradaranya, Razaisyam Rashid, diumumkan sebagai Pengarah Terbaik Drama pada Anugerah Skrin 2016 (ASK 2016), yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, malam ini.

Naskhah berkenaan juga diumumkan pemenang kategori Videografi Terbaik.

Trofi Pelakon Lelaki Terbaik Drama digenggam Beto Kusyairy, yang menunjukkan lakonan cemerlang dalam Ramadan Berteduh Syawal, manakala Tiz Zaqyah (Cermin Kasih) pula mengungguli kategori Pelakon Wanita Terbaik.

Drama Cermin Kasih juga menyaksikan seorang lagi pelakonnya, Fazlina Ahmad Daud, menjulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik. Bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki, ia menjadi milik Jalil Hamid (Calon Syurga).

Drama Rekah terbitan Unit Drama TV RTM pula berbangga dengan kemenangan dalam kategori Lakon TV (Skrip) Terbaik dan Suntingan Terbaik.

Sementara itu, dalam kategori filem, Redha terbitan Current Pictures membawa pulang dua anugerah, masing-masing bagi kategori Filem Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik (Namron).

Bintang Nota, Maya Karin, pula sekali lagi diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik. Beliau memenangi kategori sama menerusi Ombak Rindu pada edisi 2012.

Syamsul Yusof yang bertanding atas tiket Munafik mengulangi pencapaiannya pada Festival Filem Malaysia ke-28 apabila dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik.

Hushairi Husain daripada filem Polis Evo dan Fauziah Ahmad Daud (Langit Cinta) pula diumum penerima trofi Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik Filem.

Anugerah Lakon Layar Terbaik diserahkan kepada Wan Hasliza untuk filem Love Supermoon.

Bagi kategori Drama Rantaian Terbaik, ia dimenangi Wadi terbitan Luqsar Kreatif, manakala Mak Cun 2 diangkat sebagai Drama Komedi Bersiri Terbaik dengan pelakon utamanya, Erma Fatima, memenangi trofi yang baharu diperkenalkan tahun ini, Pelakon Komedi Terbaik.

Kategori Drama Rantaian Popular Media Sosial menyaksikan Kau Aku Kita daripada JS Pictures muncul pemenang.

Berita Harian X