Sabtu, 19 November 2016 | 12:13am
LAKSAM yang telah siap disediakan di TOKB Cafe, Avenue D Vogue. - Foto Mahzir Mat Isa

Resipi laksam kukus

CHEF Zulkifli Omar menunjukan laksam yang siap disediakan di TOKB Cafe, Avenue - Foto Mahzir Mat Isa

JUADAH yang dulunya berasal dari Kelantan iaitu laksam, kini makin digemari dan popular di ibu kota khususnya buat orang negeri Cik Siti Wan Kembang sehinggakan ada pengusaha menjualnya dalam servis penghantaran rumah ke rumah.

Apa taknya, rasa kuah ikan pekat enak berlemak sememangnya menjadi kegemaran, tambahan pula laksam tebal yang diperbuat daripada tepung beras lalu disalut pada tudung periuk dan dimasak memberi nikmat dalam setiap gigitan.

Paling unik, selepas ia mengeras, laksam akan digulung menjadi bentuk bulatan panjang seperti silinder dan sedia untuk dihidangkan.

Apabila dihidang, ia boleh dipotong kecil supaya mudah menyerap kuah laksam.

Dihidang bersama ulam seperti timun dan kobis berserta sambal, laksam turut tergolong dalam juadah berkhasiat kerana timun mempunyai vitamin A, B dan C yang diperlukan badan dalam sehari untuk meningkatkan sistem perlindungan badan serta memberikan tenaga.

Laksam perlu dipotong kecil bagi memudahkan kita untuk makan dan menjadikan rasa kuah lebih dapat dirasai.

Bagi setiap pelanggan yang inginkan laksam berkualiti, mereka perlu memastikan laksam yang dipotong tidak hancur.

Malas keluar rumah untuk menyediakan hidangan ini, Aroma Kulinari berkongsi resipi menyediakannya dari Kafe Taste of Kota Bharu (TOKB), Petaling Jaya. Ia mudah, pastinya meningkatkan selera makan anak dan keluarga anda.

 

ANTARA bahan bahan untuk membuat laksam di TOKB Cafe, Avenue D Vogue. - Foto Mahzir Mat Isa

Bahan laksam;

370 gram (g) tepung beras

63g tepung gandum

630 mililiter (ml) air suam

Secubit garam

 

Kuah laksam;

Bahan A;

500g ikan kembung

250ml santan

250ml air

5 ulas bawang merah

2 ulas bawang putih

1 inci halia

2 batang serai

 

Bahan B;

1 sudu kecil lada hitam

3 keping asam keping

Garam dan gula secukup rasa

 

Cara menyediakan;

1. Campur semua bahan laksam dan gaul sebati.

2. Tuang ke dalam pinggan besi dan kukus selama 10 minit.

3. Gulung laksam potong kecil.

4. Kisar bahan A sehingga halus.

5. Panaskan periuk dan masukkan bahan kisar halus dan bahan B. Rebus sehingga mendidih.

6. Kecilkan api dan tambah garam serta gula secukup rasa.

7. Sajikan bersama ulam-ulaman bersama sambal belacan. Sedia untuk dihidang.

 

Info;

Antara ulam yang boleh ditambah dalam laksam;

* Timun

* Bawang merah

* Kobis

* Daun kesum

* Sambal belacan

Berita Harian X